PRU musim banjir, BN perlu rasional

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa jentera mereka sanggup meredah banjir dan hujan lebih sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada akhir tahun ini.

Kenyataan tersebut dengan harapan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan PRU-15 dilaksanakan dalam masa terdekat.

Permintaan tersebut dibuat memandangkan momentum BN yang dilihat mampu memenangi pilihan raya tersebut di samping memastikan usaha keras ‘penghasut’ ketika ini tidak berpanjangan sehingga ke tempoh yang lama.

Sememangnya jika dilihat dalam politik, jangkaan bilakah masa terbaik atau kurang tepat bagi pilihan raya sentiasa menjadi ukuran demi kelangsungan hagemoni sesebuah parti.

Namun kenyataan tersebut dilihat sedikit sebanyak sebagai kurang sensitiviti terhadap keadaan rakyat yang saban tahun berhadapan dengan bencana tersebut.

Perkara itu jelas disuarakan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ujar beliau, bukan sekadar marhaen biasa, penjawat awam yang berkhidmat dalam jabatan-jabatan kecemasan juga perlu bersiap siaga setiap masa bagi merangka pelan kecemasan menolong mangsa bencana alam.

Tambahnya, ia termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama turun padang bersama sukarelawan bagi meringankan beban badan-badan berwajib dalam hal ini.

Artikel Berkaitan:

Penting untuk difikirkan, adakah rakyat mempunyai masa untuk mengundi atau sekurang-kurangnya mengambil masa sejenak untuk membuat pertimbangan rasional bagi pemilihan pemimpin di saat genting tersebut.

Tidak kira sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, epistemologi sebuah politik atau apa jua wacana mengenainya termasuklah pilihan raya adalah mengurus tadbir kebajikan masyarakat

Jika masih kurang jelas, secara mudahnya perkara berkenaan tidak hadir untuk membicarakan tentang soal kuasa semata-mata.

Tentang siapa atau parti apakah yang harus menang?

Ia adalah soal bagaimana sesebuah mandat atau kuasa yang diberikan masyarakat kepada sesuatu entiti politik itu berfungsi dalam memberikan aspirasi terbaik kepada negara ini.

Meskipun tidak berupaya memberikan segala yang terbaik kepada rakyat namun justifikasi terbaik bagi masyarakat tetap menjadi keutamaan.

Maka semestinya semua pihak yang terlibat dengan percaturan politik sewajarnya melihat segala keputusan berkait masa hadapan negara ini adalah sesuatu yang berkait dengan faedah dan kebajikan umum serta bertepatan dengan sentimen moral politik.