Sukma medan cipta nama di peringkat tinggi: Ismail Sabri

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu kesemua atlet yang menyertai Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 menjadikan temasya itu sebagai medan bagi mencipta nama di peringkat lebih tinggi.

Menurut Ismail Sabri, beliau menyifatkan penganjuran Sukma sangat penting dalam memastikan lebih ramai atlet terbaik dapat dilahirkan untuk mewakili negara terutamanya sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Sea Kemboja pada tahun depan.

“Cerita kehebatan mahu kita teruskan kerana menanti tahun depan juga temasya Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik untuk mengejar impian, emas sulung pada temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Upacara Perasmian Sukma 2022 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menzahirkan rasa bangganya menerusi pencapaian hebat yang dilakar atlet negara di peringkat antarabangsa pada tahun ini termasuklah kejayaan beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara dunia, bulan lalu.

“Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa pada temasya Sukan Sea di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu sebelum dituruti pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa pada Julai lalu.

“Lebih membanggakan, kita kini sudah memiliki juara dunia dalam sukan badminton selepas penantian sejak sekian lama. Kejayaan Aaron-Wooi Yik membuktikan anggota Keluarga Malaysia mampu menakluki persada dunia, menggentarkan lawan hebat untuk memahat pencapaian yang membanggakan seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Namun jangan sesekali kita leka, jangan kita mudah berpuas hati dengan apa yang sudah kita miliki. Semangat yang membara harus dan wajar kita teruskan, kerana masih banyak lagi halangan perlu diharungi, lebih banyak lagi rintangan perlu diatasi untuk kita meneruskan rentetan gemilang yang sudah dilakar,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakan arena sukan negara termasuklah sokongan padu kepada Program Podium menerusi peruntukan kewangan berjumlah RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

“Oleh itu, atlet-atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan perlu diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.

“Kerajaan juga sentiasa menyokong usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi, bukan sahaja untuk menggalakkan perkembangan sektor industri sukan negara, tetapi menyediakan platform kompetitif bertaraf tinggi kepada atlet-atlet negara,” katanya.

Untuk rekod, Sukma ke-20 dianjurkan semula dengan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah selepas temasya dwitahunan itu tidak dapat diadakan pada 2020 di Johor berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada temasya kali ini, sebanyak 426 acara membabitkan 223 acara lelaki,184 wanita dan 19 campuran daripada 31 jenis sukan dipertandingkan dengan penyertaan 6,625 atlet dan 2,709 pegawai membabitkan 15 kontinjen negeri termasuk Brunei.