Kelaparan ketika dunia semakin panas

WFP mengagihkan guni gandum kepada penduduk di Kenya.
WFP mengagihkan guni gandum kepada penduduk di Kenya.
A
A
A

WASHINGTON - Negara yang menjadi titik panas iklim terburuk di dunia kini sedang menyaksikan krisis kelaparan yang teruk.

Situasi membimbangkan itu didedahkan badan amal antarabangsa, Oxfam menerusi analisis ‘Kelaparan Dalam Dunia Yang Semakin Memanas’ yang mendapati kelaparan akut telah meningkat 123 peratus sejak lebih enam tahun lalu di 10 negara paling terjejas.

Laporan itu menunjukkan negara yang sering berdepan fenomena cuaca ekstrem sejak lebih dua dekad lalu ialah Somalia, Haiti, Djibouti, Kenya, Niger, Afghanistan, Guatemala, Madagascar, Burkina Faso dan Zimbabwe.

Sementara itu, data yang dikumpulkan Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan 48 juta penduduk di kesemua negara berkenaan mengalami kelaparan akut yang membahayakan nyawa.

“Angka itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 21 juta yang direkodkan pada 2016. Selain itu, kira-kira 18 juta penduduk berada di ambang kebuluran,” jelas laporan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.

Mogadishu dan negara jirannya di Tanduk Afrika serta di wilayah Sahel memerlukan bantuan segera komuniti antarabangsa.
Mogadishu dan negara jirannya di Tanduk Afrika serta di wilayah Sahel memerlukan bantuan segera komuniti antarabangsa.

Kajian yang dilakukan Oxfam itu juga mendapati krisis kelaparan itu diburukkan lagi dengan konflik dalaman dan masalah ekonomi termasuk pandemik Covid-19.

“Cuaca ekstrem yang semakin teruk telah menjejaskan keupayaan negara berpendapatan rendah untuk menangani krisis kelaparan akut dan menghadapi kejutan seterusnya,” ujarnya yang merujuk kepada fenomena perubahan iklim yang mengakibatkan gelombang haba melampau di beberapa negara dan banjir yang dahsyat yang kini menenggelamkan satu pertiga Pakistan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, krisis kelaparan yang didorong oleh iklim jelas menunjukkan ketidaksamaan global yang menyebabkan negara miskin paling terkesan walaupun negara Kumpulan 20 (G20) bertangunggunjawab terhadap lebih tiga perempat pelepasan karbon dunia.

Pada minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendakwa sebahagian besar populasi di Somalia berkemungkinan sudah mati kebuluran selepas ia memberi amaran negara itu kini berada di ambang kebuluran buat kali kedua dalam tempoh lebih sedekad.

Mogadishu sedang berada di ambang kebuluran buat kali kedua dalam tempoh lebih sedekad.
Mogadishu sedang berada di ambang kebuluran buat kali kedua dalam tempoh lebih sedekad.

Data diperoleh Tabung Kecemasan Kanak-Kanak PBB (UNICEF) juga mendapati kira-kira 730 kanak-kanak meninggal dunia di pusat nutrisi di seluruh Mogadishu pada Januari hingga Julai lalu.

“Somalia diramalkan berdepan kebuluran dalam masa terdekat melainkan bantuan kemanusiaan dipergiatkan. Jutaan penduduk sedang berdepan kelaparan melampau.

“Mogadishu dan negara jirannya di Tanduk Afrika serta di wilayah Sahel memerlukan bantuan segera komuniti antarabangsa,” kata Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Difahamkan, istilah kebuluran digunakan mengikut skala tertentu digelar Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan apabila 20 peratus isi rumah di kawasan terjejas mempunyai akses terhad terhadap makanan asas.

Istilah itu juga akan diguna pakai apabila kira-kira 30 peratus kanak-kanak mengalami malnutrisi akut dan dua daripada setiap 10,000 penduduk meninggal dunia akibat kebuluran atau gabungan malnutrisi dan penyakit. - Agensi