LKIM sedia RM6 juta bina kilang proses isi ikan kedua

Syed Abu Hussin (tengah) bersama penerima-penerima tong ikan berinsulasi.
Syed Abu Hussin (tengah) bersama penerima-penerima tong ikan berinsulasi.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah menyediakan peruntukan hampir RM6 juta bagi membina kilang memproses isi ikan yang kedua di negara ini.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pembinaan kilang itu yang dicadang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong bagi memenuhi pasaran isi ikan terutama di sebelah Pantai Barat.

Menurutnya, pada masa ini, permintaan isi ikan bagi industri keropok sangat tinggi dan penyediaan kilang memproses di bawah kendalian LKIM dapat membantu membuka pasaran lebih besar.

"Kilang memproses isi ikan di bawah seliaan LKIM memang kita tidak ada, yang ada hanya swasta dan orang persendirian yang diusahakan secara kecil-kecilan sahaja.

"Kilang pertama yang LKIM sedang bina di Kuala Besut (Terengganu), itu pun dijadualkan siap pada Oktober dan akan memulakan industri seawal tahun depan.

"Untuk kilang ini (kedua) kita sudah ada peruntukan RM5 juta lebih, cuma sedang cari lokasi yang sesuai kerana pada saya, lokasinya perlulah berdekatan dengan pendaratan yang banyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia dan Penyerahan Bantuan Tong Ikan Berinsulasi di Jeti Sungai Kerang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Semangat patriotisme yang ditunjukkan komuniti nelayan sempena pertandingan bot berhias.
Semangat patriotisme yang ditunjukkan komuniti nelayan sempena pertandingan bot berhias.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, pemilihan kawasan DUN Trong adalah tepat dengan mengambil kira hasil pendaratan ikan yang tinggi terutama di Sungai Tinggi dan Bagan Panchor.

Katanya, di kawasan itu, pendaratan ikan harian boleh mencecah 500 tan metrik dan keperluan itu mencukupi bagi memenuhi bekalan memproses isi ikan yang diperlukan kilang.

"Tangkapan ikan ini, ada yang besar dan kecil, mana yang besar boleh dijual, ikan kecil tidak boleh dimakan jadi ikan-ikan ini kita beli dan gunakan untuk hasilkan isi ikan.

Syed Abu Hussin menyampaikan hadiah utama bagi kategori pertabdingan bot berhias yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.
Syed Abu Hussin menyampaikan hadiah utama bagi kategori pertabdingan bot berhias yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia.

"Kilang yang kita bina ini pula boleh memproses 10 tan isi ikan sehari, bermakna kita perlukan 20 tan ikan. Kapasiti penyimpanan sejuk beku pula mencecah 500 metrik tan.

"Apabila musim tengkujuh, kawasan sebelah Pantai Barat ini tidaklah terkesan sangat, jadi secara tidak langsung kita dapat memenuhi permintaan terhadap isi ikan dari negeri Pantai Timur," katanya.

Sementara itu, kira-kira 200 bot nelayan mengambil bahagian dalam pertandingan bot berhias sempena sambutan Hari Malaysia.

Penganjuran acara itu bagi memberi ruang kepada komuniti nelayan menunjukkan semangat patriotisme masing-masing.