Rakyat perlu jauhi unsur rosakkan perpaduan

Wan Rosdy merasmikan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang yang bertemakan Keluarga Malaysia, Teguh Bersama di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Rompin pada Jumaat.
Wan Rosdy merasmikan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang yang bertemakan Keluarga Malaysia, Teguh Bersama di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Rompin pada Jumaat.
A
A
A

ROMPIN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan seluruh rakyat di negeri ini supaya menjauhi unsur yang boleh merosakkan perpaduan.

Beliau sebaliknya menyarankan agar mereka mengamalkan kehidupan harmoni dan bertolak ansur dalam negara.

Katanya, setiap rakyat Malaysia perlu memahami nikmat diperoleh sejak pembentukan Malaysia pada 1963 dan sedar akan kesan buruk sekiranya asyik bersengketa antara satu sama lain atau mengekalkan kehidupan berpuak-puak yang melampau dalam masyarakat.

"Jauhkanlah sifat suka mempersenda, menyindir, menghina dan mencari kesalahan pihak lain dan pada akhirnya boleh merosakkan perpaduan yang sudah kita ada.

"Ambillah iktibar daripada sejarah kejatuhan empayar besar dunia seperti Rom dan China yang musnah bukan disebabkan ditakluk oleh musuh-musuh mereka tetapi ia runtuh disebabkan pergaduhan dan perebutan kuasa sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika majlis perasmian sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Teguh Bersama’ diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy menjelaskan, sejarah telah menunjukkan betapa pentingnya setiap dari rakyat untuk mengetahui dan mempelajari tentang Hari Malaysia.

Beliau menambah, pengetahuan tentang sejarah pembentukan Malaysia amat perlu disemai agar aura Negaraku Sehati Sejiwa (tema 2017) dapat dihayati sepenuh jiwa dan raga.

Artikel Berkaitan:

"Bila ada penghayatan tentang perjuangan, anasir buruk yang hadir bagi tujuan untuk melaga-lagakan masyarakat tidak dapat merebak.

"Kita tahu fitnah dan kejahilan adalah seumpama minyak dengan api. Jika tidak dipadam salah satunya, sudah pasti kita akan binasa.

"Jadi kempen kesedaran sejarah didedahkan kepada anak bangsa sebagai ubat melawan virus fitnah dan kejahilan," kata Wan Rosdy lagi.

Mengulas lanjut mengenai sambutan kemerdekaan, beliau berkata, Hari Malaysia diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara.

Menurut Wan Rosdy, ia juga sebagai satu medan untuk memperingati pengorbanan warga-warga Malaysia terdahulu dalam memperjuangkan kedaulatan negara.

"Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam bentuk candawara ini merupakan bentuk hiburan dan penghayatan untuk kita mengenang sejarah di samping mengisi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini," ujar beliau.