Agenda mesyuarat khas MKT UMNO tidak dimaklum awal

 Mahdzir Khalid
Mahdzir Khalid
A
A
A

KUALA NERANG - Agenda Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas tidak dimaklumkan lebih awal kepada ahli MKT UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua ahli MKT tidak diberikan senarai isu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, namun pihaknya percaya ia merangkumi isu-isu politik semasa yang dibangkitkan banyak pihak.

Menurutnya, hanya mesyuarat MKT khas yang ditangguhkan, yang sepatutnya diadakan pada Sabtu ini.

"Mesyuarat MKT khas yang telah ditangguhkan sepatutnya pada Sabtu ini, manakala mesyuarat bulanan belum diadakan, nanti akan dipanggil," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mesra Pengguna di pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO bagi membincangkan berkenaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Ini termasuk mesyuarat MKT khas yang sepatutnya diadakan pada hari sama turut ditangguhkan.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perjumpaan pemimpin tertinggi itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober.

Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada beberapa pendirian Pas yang dimuktamadkan dalam muktamar tahunan parti itu akan dijadikan antara agenda perbincangan dalam mesyuarat MKT bulanan selepas mesyuarat MKT khas ditangguhkan, Mahdzir tegaskan, ia tiada dalam pengetahuan beliau.

"Mesyuarat yang khas itu pun saya tak tahu nak bincang apa. Jadi yang mesyuarat bulanan ini pun sama, tak tahu (agenda) lagi," ujarnya lagi.

Pada 4 September lalu, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Mac 2023 bagi tiga negeri ditadbirnya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya Parlimen dibubarkan pada tahun ini.

Pas juga menetapkan untuk mengadakan rundingan bersama UMNO berhubung 27 kerusi Parlimen yang disifatkan kritikal yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya kedua-dua parti itu bertembung.

Isu lain termasuk dakwaan berlaku rundingan antara beberapa pemimpin kedua-dua parti itu bagi menyelamatkan gagasan Muafakat Nasional (MN).