Cadangan bantu penoreh dimuktamadkan minggu depan

Mahdzir (kiri) beramah mesra dengan penduduk setempat yang hadir memeriahkan program Mesra Pengguna di pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad pada Khamis.
Mahdzir (kiri) beramah mesra dengan penduduk setempat yang hadir memeriahkan program Mesra Pengguna di pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERANG - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi memuktamadkan cadangan membela nasib penoreh getah yang terkesan akibat kejatuhan harga komoditi itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setelah kedua-dua kementerian terbabit mencapai persetujuan, perbincangan seterusnya akan diadakan bersama Kementerian Kewangan.

Menurutnya, proses berkenaan kini berjalan lancar dan perbincangan tiga pihak tersebut dijangka diadakan minggu depan.

"Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah capai persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan.

"Ia akan dilakukan secepat mungkin kerana perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan perlu ada pembelaan daripada kerajaan buat mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mesra Pengguna di pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad pada Khamis.

Isnin lalu, Mahdzir memaklumkan dua syor akan dikemukakan oleh KPLB kepada Perdana Menteri bagi membela nasib penoreh getah di negara ini.

Syor pertama adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan manakala syor kedua adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.

Mahdzir memberitahu, pada ketika ini harga getah sekerap berada pada paras antara RM2.30 hingga RM2.40 dan ia di bawah harga lantai yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai jumlah pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang memohon untuk menukar tanaman getah kepada kelapa sawit berikutan penurunan harga, Mahdzir tegaskan terdapat permohonan yang dibuat sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

"Ada yang mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi.

"Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar," jelas beliau.