BSEP dicadang jadi cabang baharu perkhidmatan ATM

AFFENDI
AFFENDI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditubuhkan dua tahun lepas sedang dirancang untuk menjadi satu cabang perkhidmatan baharu ATM selain perkhidmatan darat, laut dan udara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini kerana organisasi yang bersifat cyber-centric itu bertanggungjawab menangani ancaman peperangan dalam domain siber dan elektromagnetik.

Beliau berkata, ia susulan peningkatan ancaman di alam maya yang sangat berisiko memporak-perandakan sistem teknologi pertahanan negara.

"Hidup di dunia IT (teknologi maklumat) sekarang, kita harus tahu, sebaik sahaja diserang, kita akan terkesan. Bagaimana jika perkara itu berlaku kepada sistem pertahanan kita?, bayangkan kesannya.

"Apabila ada kemusnahan pada sistem data akibat ancaman siber ini, ia boleh meruntuhkan sepenuhnya pertahanan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam wawancara khas sempena sambutan Hari ATM ke-89 di Wisma Perwira ATM di sini, baru-baru ini. Sambutan Hari ATM ke-89 diadakan esok susulan sambutan pada 16 Sept setiap tahun.

Menurutnya, ketika ini aset-aset komunikasi strategik seperti Sistem Satelit, Network Centric Operation dan Secured Messaging di bawah kawalan BSEP berfungsi memastikan keupayaan operasi ketiga-tiga cabang ATM berada di tahap tertinggi dan terseragam.

Affendi berkata, secepat mana BSEP mampu berdiri sendiri sebagai sebuah cabang perkhidmatan bergantung kepada pelaburan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, BSEP juga tidak boleh mengaplikasikan sistem pertukaran petugas sama seperti bahagian-bahagian lain di ATM bagi memenuhi keperluan kepakaran.

"Kita tahu dunia IT ini tidak boleh dikuasai hanya dalam setahun dua, hakikatnya kita perlu mengikuti perkembangan semasa dengan dunia IT,” katanya.

Mengulas mengenai aspirasi ATM dalam Bajet Pertahanan 2023, Affendi berharap melalui koordinasi bersama Kementerian Pertahanan, ia akan dipertingkatkan berbanding RM15.42 bilion untuk tahun ini.

"Bajet yang ATM perlukan adalah 1.5 peratus daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar. Pada masa ini bajet yang diberi kepada kita berkisar satu peratus sahaja," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai visi dan misi ATM sempena sambutan Hari ATM ke-89 esok, beliau berkata ia sesuai dilihat dalam kerangka masa lima hingga 10 tahun akan datang terutamanya melibatkan perubahan dalam kriteria aset dan sistem pertahanan negara.

Justeru, Affendi berkata Strategi Ketenteraan Negara 2.0 yang beliau akan lancarkan pada 26 Sept nanti akan memberi panduan kepada ATM untuk terus bersedia dan kekal relevan.

"Ia termasuklah angkatan-angkatan (aset) di masa hadapan. Saya tidak boleh menyatakan kapal dan pesawat apa yang akan dibeli atau sistem apa yang ATM miliki. Tetapi ia lebih kepada penetapan kriteria daripada sudut keupayaan aset-aset masa hadapan," katanya.

Selain itu, ATM turut merancang 95 eksesais merangkumi Eksesais Tunggal, Eksesais Gabungan, Eksesais Bersama dan Eksesais Bersepadu pada tahun hadapan. - Bernama