900 rakyat Perak alami keracunan makanan

Mohd Akmal bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Afiedah Munir@Muhammad meninjau ruang pameran disediakan.
Mohd Akmal bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Afiedah Munir@Muhammad meninjau ruang pameran disediakan.
A
A
A

IPOH - Seramai 900 rakyat Perak telah mengalami keracunan makanan sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah itu membabitkan 23 kes dengan seorang daripadanya dilaporkan meninggal dunia.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merekodkan jumlah mangsa keracunan tertinggi sebanyak 572 orang, diikuti premis sekolah seramai 169 mangsa, kilang (66), rumah persendirian (24), penjara (22) dan satu kejadian berpunca daripada makanan yang disediakan katering luar.

"Dalam kes keracunan ini memang ada yang sampai masuk hospital, tetapi majoriti mereka dirawat sebagai pesakit luar.

"Setakat ini, hanya satu kematian direkodkan, tetapi kes itu pun masih dalam siasatan untuk mengetahui punca kematian sama ada disebabkan makanan atau kerana penyakit sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Perak di sini pada Khamis.

Mohd Akmal turut mengesahkan, satu kematian yang direkodkan itu adalah bersangkut paut kes tular bulan lalu mengenai 50 orang termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalami keracunan makanan.

Katanya, dalam kejadian di Taiping itu, mangsa yang meninggal dunia bukanlah kakitangan KKM sepertimana dihebahkan, tetapi individu yang terlibat dalam penyediaan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada 50 orang itu bukan semua KKM, ada beberapa pihak yang menyediakan makanan, termasuklah mangsa yang meninggal dunia itu.

"Kematiannya masih dalam siasatan untuk mencari punca sama ada dari makanan di sediakan itu atau sebaliknya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Akmal berkata, sebanyak 888 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan terhadap pengusaha dan pengendali makanan seluruh negeri.

Ujar beliau, di bawah akta sama juga, sebanyak 1,858 produk makanan bernilai RM19,344.41 telah disita atas pelbagai kesalahan.

"Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah menjalankan 4,902 pemeriksaan premis makanan.

"Hasil pemeriksaan itu, 30 premis makanan diarah tutup kerana tidak suci dan tidak bersih manakala terdapat 214 premis makanan dikesan mencapai tahap kebersihan yang rendah dengan markah kurang daripada 75 peratus," katanya.

Sehingga Ogos 2022, sebanyak 81 premis makanan di Perak telah mendapat pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), 58 premis mendapat pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP), 557 premis mendapat pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), masing-masing satu premis mendapat pensijilan Ceramic Ware dan Makanan Auntetik.