Pelanggan, pekerja pusat kecantikan dicekup

Pelanggan dan pekerja sebuah pusat kecantikan dicekup berdua-duaan dalam sebuah bilik yang ditutup dengan tirai.
Pelanggan dan pekerja sebuah pusat kecantikan dicekup berdua-duaan dalam sebuah bilik yang ditutup dengan tirai.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pelanggan dan pekerja sebuah pusat kecantikan di Pekan Baru di sini dicekup dalam serbuan dilakukan penguat kuasa agama kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun berstatus bujang itu dikesan berada berdua-duaan bersama pekerja wanita berusia 48 tahun dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh dalam sebuah bilik yang ditutup dengan tirai penghadang.

Menurutnya, lelaki dari Guar Chempedak itu dilihat tidak berbaju dan segera memperkemaskan seluar yang dipakai semasa ketibaan anggota penguat kuasa.

"Kita mendapati terdapat dua lagi pekerja wanita dalam premis sama yang merupakan warga tempatan, diperiksa untuk tindakan lanjut," katanya.

Difahamkan, pusat yang menyediakan perkhidmatan kecantikan seperti rawatan muka, rambut, mandi wap dan urutan tapak kaki itu telah beberapa kali dipantau agensi berkuasa lain namun masih menerima aduan dari orang awam berhubung perbuatan tidak senonoh yang dipercayai dilakukan di premis terbabit.

Jelasnya, kedua-dua individu itu disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lagi pekerja wanita diberikan notis hadir ke pejabat agama mengikut tarikh ditentukan untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi melibatkan kira-kira 15 anggota itu membabitkan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Cawangan Penyiasatan Khas Sungai Petani, Angkatan Tentera Malaysia dan NGO, Skuad Badar.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noor Ismardi berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau maksiat boleh tampil membuat aduan dalam usaha membanteras perbuatan berkenaan.