Laluan Persiaran Karpal Singh ditutup sempena Penang Yasakoi 2022

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Beberapa laluan di kawasan Persiaran Karpal Singh di sini akan ditutup bermula jam 8 pagi sehingga jam 12 tengah malam, 17 September ini sempena program Penang Yasakoi 2022.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penutupan beberapa laluan di kawasan tersebut adalah untuk melancarkan aliran trafik selain mengawal lalu lintas sepanjang program tersebut.

Menurutnya, orang ramai diminta supaya merancang perjalanan bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan jalan raya sepanjang program tersebut berlangsung.

"Kenderaan daripada Lebuh Sungai Pinang tidak dibenarkan masuk ke laluan utama Persiaran Karpal Singh bermula jam 8 pagi, Sabtu ini iaitu bermula Gereja Penang MMC sehingga ke penghujungnya. Bagaimanapun, jalan tersebut hanya dibuka sehala iaitu untuk kenderaan keluar sahaja.

"Laluan ini akan ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang bagi tujuan perarakan dan akan dibuka kembali kepada umum pada jam 11 malam.

"Hanya kenderaan untuk pekerja dan mereka yang mempunyai pas khas dibenarkan untuk memasuki kawasan ini bagi tujuan parkir,'' katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Program Yasakoi 2022 akan diadakan pada Sabtu ini di Persiaran Karpal Singh.
Program Yasakoi 2022 akan diadakan pada Sabtu ini di Persiaran Karpal Singh.

Soffian berkata, jalan menghala ke restoran makanan segera dibuka sepenuhnya untuk kegunaan kenderaan keluar masuk.

Artikel Berkaitan:

"Laluan dari Venzy Tea ke Lebuh Sungai Pinang 6 turut ditutup kepada kenderaan umum dan hanya dibuka kepada kenderaan kenamaan seperti Ketua Menteri, Konsul Jenaral serta mereka yang mempunyai VIP akses sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengunjung meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan pihak penganjur iaitu di Wesley Methodist School, Jalan Perusahaan Jelutong dan Fisherman's Wharf.

"Orang ramai diharapkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas kawalan trafik bagi memastikan kelancaran tugas serta aliran trafik di bandar Georgetown," katanya.