Beberapa laluan di Butterworth dijangka sesak

Perarakan pedati diadakan sempena upacara meranduk api yang dianjurkan Kuil Sree Maha Mariammam, Tokong Lane bermula Rabu sehingga Sabtu depan.
Perarakan pedati diadakan sempena upacara meranduk api yang dianjurkan Kuil Sree Maha Mariammam, Tokong Lane bermula Rabu sehingga Sabtu depan.
A
A
A

BUTTERWORTH - Beberapa jalan di sekitar Butterworth dijangka akan mengalami kesesakan berikutan upacara keagamaan meranduk api yang dianjurkan Kuil Sree Maha Mariammam, Tokong Lane bermula Rabu sehingga Sabtu depan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, perarakan pedati akan melalui beberapa jalan selain turut didirikan beberapa khemah untuk menyediakan minuman kepada penganut yang menyertai perarakan terbabit.

Menurutnya, lebih 5,000 orang penganut dijangka akan mengambil bahagian dalam upacara keagamaan berkenaan.

"Pada Rabu bermula jam 5 petang hingga 12 malam perarakan pedati akan melalui Jalan Mengkuang, Jalan Kampung Paya, Jalan Raja Uda dan Jalan Bagan Ajam.

"Selepas itu perarakan akan melalui Jalan Thmabi Kecil, Jalan Kampung Gajah, dan Jalan Jetty Lama yang dijangkakan berlangsung pada jam 12 tengah malam sehingga 2.30 pagi," katanya dalam kenyataan, di sini pada Selasa.

Mohd Asri berkata, pada Jumaat bermula jam 5 petang hingga 12 malam perarakan pedati diteruskan dan akan melalui Jalan Jetty Lama, Jalan Telaga Air, Jalan Permatang Pauh, Jalan Bagan Lalang, Lorong Mak Mandin 5 dan Jalan P Patto.

Manakala pada Sabtu bermula jam 12 malam hingga 9 pagi, katanya ia akan melibatkan Jalan Telaga Air, Jalan Kampung Banggali, Jalan Heng Choon Thiam, Jalan New Ferry, Jalan Assumption, Jalan Sungai Nyior, Jalan Bagan Luar dan Jalan Jetty lama.

"Kita menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar menggunakan laluan alternatif lain serta merancang perjalanan supaya tidak tersekat dalam kesesakan trafik pada tarikh, lokasi dan masa yang telah dimaklumkan,"katanya lagi.