Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT mengakhiri minggu ini lebih kukuh berbanding dolar AS pada Jumaat selepas China terus menetapkan pendirian untuk campur tangan susulan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai ekonominya, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.6465/6510 berbanding dolar AS daripada 4.6535/6550 pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, mata wang tempatan dan mata wang serantau mendapat sokongan apabila People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan pelan untuk melaksanakan langkah-langkah dasar bagi menghentikan kejatuhan nilai yuan yang pesat.

"Pengumuman oleh PBOC memberi sedikit kelegaan kepada mata wang serantau,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi Malaysia berkembang 2.9 peratus pada suku kedua 2023, menjadikan pertumbuhan purata bagi separuh pertama tahun ini pada 4.25 peratus.

Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadi sederhana pada suku itu sebahagiannya disebabkan oleh permintaan luaran yang lebih perlahan susulan kitaran teknologi global, pengeluaran komoditi lebih rendah dan kesan asas lebih tinggi dari suku kedua 2022.

Oleh itu, Innes berkata, data terkini boleh memberi isyarat kepada kerajaan bahawa ekonomi tempatan boleh menggunakan peningkatan pro-pertumbuhan jika tiada rangsangan daripada China, yang akan dilihat sebagai positif untuk mata wang tersebut.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun, apabila ia merosot kepada 3.1926/1959 daripada 3.1832/1846 pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 5.0503/0552 daripada 5.0602/0618 semalam dan meningkat berbanding pound kepada 5.9131/9189 daripada 5.9211/9230 sebelum ini.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4228/4264 daripada 3.4212/4228 pada Khamis dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1331/1510 daripada 13.1306/1423 sebelum ini.

Ia berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.28 daripada 8.19/8.20 pada Khamis bagaimanapun naik berbanding rupiah Indonesia kepada 303.9/304.2 daripada 304.4/304.7 sebelum ini. - Bernama