Enam tokan ganja diberkas

Cheng San (dua dari kanan) menunjukkan ketulan dadah mampat jenis ganja.
Cheng San (dua dari kanan) menunjukkan ketulan dadah mampat jenis ganja.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 7,640.45 gram ganja dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, serbuan dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik SPT sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Permatang Rawa jam 8.30 malam berjaya menahan tiga lelaki bersama sembilan ketulan mampat ganja seberat 6,350 gram bernilai RM15,875.

"Dalam serbuan itu, kita turut menemui selaras senapang patah buatan sendiri dan 19 butir peluru daripada salah seorang suspek yang merupakan penyewa bengkel berkenaan.

"Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi ahli sindiket di tepi jalan berhampiran Pangsapuri Sri Pauh pada jam 9.30 malam bersama 244.77 gram ganja bernilai RM611.92," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT pada Khamis.

Cheng San berkata, pada hari berikutnya polis menyerbu sebuah rumah kampung di Kubang Semang dan menahan pasangan suami isteri bersama 1045.68 gram ganja bernilai RM2,614 yang disorokkan di sebuah bilik.

Cheng San (tiga dari kiri) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah dan senjata api yang dirampas dsripada ahli sindiket.
Cheng San (tiga dari kiri) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah dan senjata api yang dirampas dsripada ahli sindiket.

Katanya, polis turut menemukan satu plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 7 gram bernilai RM245.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain dadah pihaknya turut merampas dua kereta, tiga motosikal dan wang tunai berjumlah RM11,400 yang menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM96,546.

"Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap kesemua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC dan semakan rekod pula mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah serta jenayah.

"Kesemua suspek berusia 31 hingga 56 tahun kini direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan," jelas beliau.

Tambah Cheng San, suspek yang memiliki senapang patah buatan sendiri itu akan turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.