Ringankan beban rakyat

No Image Caption
A
A
A

ADA pelbagai reaksi apabila Sinar Harian melaporkan cadangan supaya cukai jalan dihapuskan.

Cadangan itu dilontarkan kerana industri automotif di negara ini menggunakan konsep cukai atau cukai yang menyebabkan rakyat terpaksa membayar cukai berganda.

Rata-rata rakyat memang amat bersetuju dan menyokong penuh cadangan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa pihak berpandangan sebaliknya dan tidak bersetuju kerana hasil daripada pungutan cukai sebanyak RM3 bilion setahun itu digunakan untuk menyelenggarakan jalan raya.

Ironinya, keadaan jalan di negara ini tidaklah begitu baik walaupun pengguna saban tahun membayar cukai jalan. Sudah tentulah mereka mahukan jalan raya yang bagus dan berkualiti tinggi.

Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan sebuah motosikal melambung dan terbabas gara-gara terlanggar lubang.

Kejadian tersebut telah mengundang kemarahan rakyat di media sosial yang mempersoalkan tentang kerosakan jalan tidak dibaiki itu.

Kita harap pihak bertanggungjawab perlulah serius dalam menangani masalah kerosakan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi perkara penting yang boleh kerajaan bantu rakyat ketika ini adalah dengan memastikan kadar insurans kenderaan tidak terlalu tinggi.

Pemilik kenderaan pada masa ini terpaksa membayar antara RM55 hingga RM380 bagi kenderaan 1,000cc hingga 1,800cc.

Bagaimanapun, jumlah insurans yang perlu dibayar adalah sebanyak RM1,000 hingga RM2,000.

Sebenarnya jumlah insurans yang tinggi inilah yang banyak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Jika kerajaan tidak mahu menghapuskan cukai jalan, apa kata kerajaan campur tangan dalam menentukan kadar premium insurans yang memang tinggi itu.

Atau kerajaan juga bolehlah mengurangkan cukai dalam industri automotif supaya harga kereta lebih rendah dan mampu milik dengan bayaran bulanan yang rendah.

Sehubungan itu, kita berharap kerajaan membuat keputusan terbaik untuk rakyat terutama dalam bajet yang sedang dirangka oleh Kementerian Kewangan.

Keutamaan perlulah diberikan kepada golongan berpendapatan rendah kerana kenderaan adalah satu keperluan dan bukan lagi kehendak ketika ini.

Rakyat sangat memerlukan kenderaan untuk mencari rezeki yang terbentang luas di dunia ini dan kerajaan harus mempermudahkan kehidupan mereka.