Lelaki dalam tahanan disahkan mati mengejut

Hasil bedah siasat dijalankan terhadap lelaki berusia 62 tahun itu, tidak menemui sebarang unsur jenayah. - Foto 123rf
Hasil bedah siasat dijalankan terhadap lelaki berusia 62 tahun itu, tidak menemui sebarang unsur jenayah. - Foto 123rf
A
A
A

IPOH - Kes seorang tahanan polis meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke pertuduhan mahkamah pada Selasa, diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap lelaki berusia 62 tahun itu, tidak menemui sebarang unsur jenayah.

"Bedah siasat telah dijalankan hari ini (Rabu) dan mendapati, tiada sebarang unsur kecederaan fizikal yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

"Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, laporan mendedahkan, punca kematian lelaki itu disebabkan pendarahan di bahagian perut akibat sista pankreas pecah.

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan dan merujuk hasil siasatan kepada koroner," katanya.

Dalam laporan Sinar Harian, lelaki terbabit didapati berada dalam keadaan tidak sihat ketika berada dalam lokap Balai Polis Jelapang.

Dia yang ditangkap pada Sabtu lalu di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan: