HSB kesan waris lelaki meninggal dunia

Hospital Sungai Buloh. - Gambar hiasan
Hospital Sungai Buloh. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Sungai Buloh (HSB) sedang mengesan ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki yang meninggal dunia dan mayatnya masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu kerana tidak dituntut.

Bahagian Perhubungan Awam HSB dalam kenyataan memaklumkan lelaki berkenaan, Kanesan Muniandy merupakan tahanan Penjara Sungai Buloh dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSB pada 19 April lalu.

"Berdasarkan semakan Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan Jabatan Penjara, waris si mati bernama Muniandy Arumugam (ayah) dan Veeramah Vengadasa (ibu).

"Bagaimanapun, tiada maklumat seperti alamat dan nombor telefon diperolehi dan alamat terakhir si mati adalah Blok B6/1, Rumah Panjang Setapak Jaya, 53300 Kuala Lumpur," kata kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, pihak HSB memohon waris atau orang ramai yang mengenali lelaki terbabit supaya dapat tampil memberikan maklumat dengan hadir ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sungai Buloh.

Orang ramai mempunyai maklumat boleh menghubungi Mumtaz Jehan Abdul Rashid di talian 03-61454333 sambungan 4286 dan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di talian 03-61454333 sambungan 3100.