Tiada petunjuk Najib akan ke IJN: Peguam

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu pada Rabu bahawa, tiada sebarang petunjuk bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).

Peguam utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian selepas prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau berkata, sebelum ini mereka telah dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa Najib akan dibawa ke IJN.

“Semuanya diatur kerana tidak mahu mengambil risiko, sebab kalau timbul masalah yang serius, kita perlu mencari pakar.

“Najib tidak mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung tetapi ulser boleh menyebabkan pendarahan, ia benar-benar boleh menjadi masalah jantung atau angin ahmar,” katanya.

Beliau mengulas isu demikian selepas ditanya berhubung kenyataannya pada Selasa, bahawa Najib akan dirujuk ke IJN secepat mungkin.

Susulan kenyataan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan setiap banduan termasuk Najib, perlu menerima rawatan di hospital kerajaan.

Khairy berkata, prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan Ahli Parlimen Pekan itu perlu dihantar ke HKL.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, ketika dirawat di HKL, Najib telah diberikan ubat asal dan generik.

Generik ialah ubat yang memberi fungsi sama, tetapi dikeluarkan oleh syarikat berbeza daripada pembekal ubat asal.

Peguam itu berkata, ubat generik tidak begitu berkesan berbanding asal.

"Sekarang, Najib telah diberikan ubat asal dan didapati tekanan darahnya mulai menurun namun masih belum berada di tahap yang memuaskan," katanya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bersambung 26 September ini.