[VIDEO] Najib mungkin dirujuk ke IJN, prosiding dilapangkan

Najib Tun Razak - Foto Bernama
Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin, mungkin dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurutnya, tekanan darah bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu, malah puncanya masih belum diketahui.

“Yang Arif, saya diberitahu pada jam 7.30 pagi dan 9.30 pagi tadi, anak guam saya akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan ia akan mengambil masa beberapa hari, tetapi tidak dinyatakan dengan tepat bilangan hari tersebut.

“Maka, beliau tidak dapat hadir ke mahkamah yang dijadualkan pada hari Selasa dan Rabu,” katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudiannya bertanya mengenai sijil cuti sakit (MC) daripada pihak hospital.

Muhammad Shafee: Tiada MC dikeluarkan sebab beliau menerima rawatan di wad.

Sequerah: Jadi, mungkin kita boleh berjumpa dalam prosiding esok?

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Yang Arif, sebenarnya tiada sesiapa pun dibenarkan untuk melawat Datuk Seri Najib di hospital, termasuklah barisan peguam, sedangkan saya perlu melaporkan perkembangan terkini kepada mahkamah dan saya mesti mendapat arahan daripadanya.

Sequerah: Jadi tan sri mahu akses?

Muhammad Shafee: Tidak, kerana itu akan meletakkan Yang Arif dalam kedudukan yang janggal, ini sekadar makluman untuk mahkamah. Jadi saya mohon prosiding pada Selasa ditangguhkan.

Perkara itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Mendengar perkara itu, prosiding kes ditangguhkan dan mengarahkan kedua-dua pihak hadir pada Rabu untuk perkembangan lanjut.

Mahkamah sebelum ini menetapkan prosiding berlangsung selama empat hari minggu ini.

Bagaimanapun, prosiding pada Isnin ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu keadaan Ahli Parlimen Pekan itu agak teruk.

Menurutnya, Najib dirujuk ke hospital ekoran ubat darah tinggi baharu, yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.