Bomba kenal pasti titik pendaratan helikopter

Azmi menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli bomba komuniti sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Perak di Meru Raya pada Rabu.
Azmi menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli bomba komuniti sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Perak di Meru Raya pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Beberapa titik pendaratan helikopter di sepanjang laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands akan dikenal pasti sebagai persediaan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika tragedi besar sepanjang fasa peralihan monsun ini.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, pengenal pastian lokasi sebagai 'landing point' helikopter itu bagi melancarkan lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku sebarang kejadian tanah runtuh atau kemalangan besar di sepanjang laluan berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini langkah sama telah dipraktikkan di laluan Gerik-Jeli yang mempunyai risiko sama dan berjaya mengenal pasti lima titik pendaratan yang sesuai.

"Operasi untuk mengenal pasti titik pendaratan ini mengambil kira beberapa faktor termasuk keluasan serta permukaan bumi.

"Kerja-kerja ini dijangka siap pada hujung bulan ini," katanya ketika sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Perak di Meru Raya dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata, dalam menghadapi Monsun Timur Laut ini, JBPM Perak turut bekerjasama dengan agensi lain, mengenal pasti kawasan berbukit yang mempunyai aliran air yang berisiko berlakunya fenomena kepala air.

Katanya, langkah itu bagi membantu jabatan berkenaan menggerakkan tenaga anggota penyelamat dan menyusun aset-aset menyelamat ke kawasan yang berisiko dengan lebih cepat.

"Setakat ini, antara kawasan berbukit yang dikenal pasti mempunyai aliran air adalah di sekitar Simpang Pulai, Taiping, Gerik dan Pengkalan Hulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Azmi berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) 'response time' atau tempoh bertindak baharu diperkenalkan bagi membolehkan pegawai hadir ke lokasi kejadian dengan pantas ketika mereka berada di luar kawasan.

Jelasnya, di bawah SOP tersebut, pegawai harus bersedia 24 jam dan tiba di lokasi kejadian seperti kawasan-kawasan yang terlibat dengan tanah runtuh atau banjir dalam masa ditetapkan.

"Ini merupakan peraturan baharu yang diperkenalkan di Perak pada tahun ini supaya tindakan untuk operasi menyelamat dapat dilakukan dengan pantas," katanya.

Seramai 1,253 anggota JBPM Perak dibantu 1,244 anggota membabitkan 40 pasukan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) akan digerak atur bagi menghadapi musim monsun kali ini.