Sistem pantau dron di Malaysia siap 2023

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UAS-TM) yang antaranya berfungsi mengawal selia penggunaan UAS atau dron di seluruh negara secara dalam talian dijangka siap tahun depan, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Chester Voo berkata, melalui sistem tersebut, pihak berkuasa akan dapat memantau operasi UAS dalam masa sebenar seterusnya membantu penguatkuasaan peraturan UAS dengan lebih berkesan.

"Proses membangunkan dan melaksanakan sistem UAS-TM ini telah bermula dan dijangka siap untuk operasi pada suku keempat 2023. Dua aspek penting dalam sistem UAS-TM ini ialah pendaftaran dan proses kelulusan penerbangan dron.

"Dengan adanya sistem UAS-TM, ia dapat memastikan kebertanggungjawaban operator UAS serta pembangunan ekosistem UAS atau dron yang selamat, berdaya maju dan efisien secara berterusan dengan pelbagai penggunaan aplikasi,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 6 September lepas dilaporkan berkata, Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) akan dibangunkan sebagai agenda nasional bagi menyokong ekosistem dron.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, UAS-TM juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk menambahkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

Chester dalam pada itu berkata, kewujudan kawasan penerbangan dron khusus adalah penting bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan latihan yang selamat untuk dron.

"Pengenalan peraturan baru juga penting bagi membolehkan lebih banyak ruang untuk pertumbuhan ekonomi dan inovasi khususnya dalam industri dron,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Technerve Technology Solutions Sdn Bhd, yang menawarkan perkhidmatan berasaskan pesawat tanpa pemandu, Muslim Abdullah Zaik berkata, MDTAP30 akan membantu merancakkan lagi ekonomi berasaskan dron khususnya dalam bidang perkhidmatan dan komersial.

"Pembangunan sistem UAS-TM dilihat dapat membantu kelancaran penggunaan dron untuk tugasan kritikal... ia juga dapat melancarkan serta memendekkan masa yang diambil untuk pengendali dron mendapatkan permit operasi penerbangan,” katanya.

Ini kerana penggunaan dron secara meluas dalam rantaian nilai beberapa sektor khususnya pertanian, minyak dan gas serta tenaga ketika ini menghadapi beberapa cabaran khususnya untuk penerbangan jenis Beyond Visual Line of Sight (BVLOS), katanya.

Dalam pada itu, Muslim berkata, MDTAP30 adalah teras dalam memastikan negara mampu membangunkan ekosistem bakat teknologi dron dalam usaha merancakkan lagi ekosistem dron di negara ini.

"Keutamaan sekarang bukan sahaja kemahiran pengendalian dan penyelenggaraan dron tetapi pembangunan keilmuan asas dalam membangunkan teknologi sistem tanpa pemandu,” katanya. - Bernama