Selamatkan rakyat Malaysia jadi buruh paksa di Myanmar: MHO

Mangsa dipaksa bekerja sebagai 'scammer', judi dalam talian dan kegiatan haram lain. - Foto 123rf (Gambar kecil: Hishamuddin)
Mangsa dipaksa bekerja sebagai 'scammer', judi dalam talian dan kegiatan haram lain. - Foto 123rf (Gambar kecil: Hishamuddin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa campur tangan kerajaan Myanmar dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang dijadikan buruh paksa oleh sindiket dipercayai dilindungi pihak berkuasa di sana.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada keluarga mangsa yang didakwa menjadi hamba sindiket dipaksa bekerja sebagai 'scammer', dan pelbagai kegiatan haram.

"Mangsa diperdaya oleh sindiket pekerjaan palsu dengan ditawarkan gaji lumayan dan apabila tiba di Myanmar mereka dipaksa bekerja tidak seperti apa yang ditawarkan pada mulanya.

"Mangsa dipaksa bekerja sebagai 'scammer', judi dalam talian dan kegiatan haram lain malah apabila disoal kepada pihak ejen, mangsa akan diugut serta dipukul sindiket," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menerima laporan bahawa sesetengah mangsa dijual daripada ejen ke ejen lain malah ada dijual kepada ejen dari negara lain.

Tambahnya, pihak sindiket turut meminta wang tebusan lingkungan RM50,000 hingga RM100,000 daripada mangsa sebelum mereka dibenarkan pulang ke Malaysia.

"Oleh kerana layanan tidak berperikemanusiaan mangsa telah membuat laporan kepada polis Myanmar malangnya tiada tindakan efektif diambil pihak berkuasa tempatan menyebabkan mangsa terus terkandas.

"Kami percaya terdapat penglibatan pihak berkuasa tempatan yang bersekongkol melindungi sindiket terbabit," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menegaskan kegiatan sindiket terbabit dengan jelas melanggar hak asasi manusia dan boleh dikelaskan sebagai penghambaan moden.

"MHO menggesa kerajaan Myanmar sebagai salah satu ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang meratifikasikan ASEAN Convention Against Trafficking in Persons, Especially Women and Children (ACTIP) untuk segera menyelamatkan rakyat Malaysia yang terkandas," tegas beliau.