70 peratus aduan rakyat Perak berjaya diselesaikan

Saarani meneliti aduan yang diterima sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Siri 6 di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
Saarani meneliti aduan yang diterima sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Siri 6 di Stadium Indera Mulia pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan yang digerakkan kerajaan negeri Perak sejak Februari lepas berjaya menyelesaikan lebih 600 kes daripada keseluruhan 873 aduan yang diterima.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejayaan merangkumi 70 peratus aduan itu adalah yang berkait rapat dengan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sepanjang enam siri program ini diadakan, kerajaan negeri telah menerima sejumlah 873 aduan dan lebih 70 peratus aduan tersebut telah diselesaikan dan diambil tindakan lanjut.

"Itu bermakna orang memahami bahawa mereka perlu datang ke mari dan menceritakan masalah untuk kita selaraskan mengikut kapasiti kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Siri 6 di Stadium Indera Mulia di sini pada Selasa.

Saarani berkata, masalah berkaitan tanah merupakan aduan tertinggi diterima dengan kebanyakan mengenai status terkini permohonan dibuat dan alasan mengapa permohonan ditolak.

"Ada kes yang belum diselesaikan merupakan aduan yang melibatkan urusan kerajaan Persekutuan contohnya tentang surat beranak dan masalah kerakyatan, tetapi kita ambil juga aduan dan panjangkan kepada pusat," katanya.

Dalam program siri ke-6 itu, sebanyak 118 aduan diterima dengan sebahagiannya berjaya diselesaikan pada hari sama sementara bakinya dalam tempoh ditetapkan oleh jabatan dan agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan: