Pengasingan kuasa mudahkan fungsi SPRM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya ketika ini dilihat sebagai satu keperluan terutama bagi memudahkan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani kes rasuah di negara ini.

Ia pertama kali dibangkitkan oleh bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berikutan berikutan kontroversi buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas membuktikan keperluan kerajaan menyegerakan pengasingan kuasa antara pendakwa raya dan Peguam Negara.

Menurut Azalina, pendedahan Tommy di dalam bukunya menyebabkan Peguam Negara (AG) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) terpaksa mempertahankan kakitangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Di dalam buku bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness’, Tommy mempersoalkan tahap daya saing dan kebolehpercayaan pegawai undang-undang di AGC.

Kata Azalina, fungsi AG yang berperanan memberikan nasihat perundangan kepada kerajaan selain menjadi ketua pendakwa raya telah mencetuskan situasi yang menjurus kepada berlakunya konflik.

Beliau menegaskan, keperluan Parlimen diiktiraf sebagai institusi berperanan memelihara prinsip ketelusan dalam isu pelantikan dan penyingkiran peguam negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyuarakan cadangan itu atas dasar individu sama memegang jawatan Peguam Negara dan pendakwa raya, menyebabkan ada kes disiasat SPRM berisiko ditarik semula di peringkat pendakwaan kerana alasan tertentu.

Hassan berkata, selama ini SPRM hanya berperanan sebagai badan penyiasat dan tidak mempunyai kuasa mendakwa di mahkamah kerana ia di bawah pendakwa raya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pendakwa raya adalah individu sama memegang jawatan Peguam Negara yang mana kita tahu antara tugasnya adalah penasihat kepada kerajaan dan Perdana Menteri.

"Justeru, wujud dilema kes rasuah yang disiasat SPRM dan menunggu pendakwaan di mahkamah tiba-tiba ditarik balik oleh pihak pendakwa," katanya

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan masih mengkaji implikasi kepada cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya.

Katanya, walaupun banyak negara lain termasuk negara Komanwel yang telah melakukan pengasingan tersebut, namun cadangan itu tidak mudah dilaksanakan.

Tambah Wan Junaidi, untuk cadangan itu dilaksanakan di Malaysia, sebanyak 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.

Selain itu, perkara tersebut juga melibatkan kos yang memerlukan penambahan kepada perbelanjaan kerajaan.

“Apabila diasingkan Peguam Negara perlu ada pejabatnya sendiri, perpustakaan, staf serta penasihat sendiri kerana tidak lagi boleh berkongsi dengan pendakwa raya. Kita juga tidak tahu berapa juta diperlukan setahun untuk membiayai perkara ini,” kata beliau.

Wan Junaidi berkata, secara peribadi beliau menyokong cadangan pengasingan kuasa itu, namun kajian menyeluruh diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.