Bajet untuk sektor kesihatan perlu terus digandakan

Kos berbilion ringgit untuk membaik pulih hospital-hospital ini tidak boleh dijadikan alasan tidak menyegerakan kerja-kerja naik taraf. - Gambar hiasan
Kos berbilion ringgit untuk membaik pulih hospital-hospital ini tidak boleh dijadikan alasan tidak menyegerakan kerja-kerja naik taraf. - Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini seorang kenalan lama yang berpangkat pegawai daerah telah pergi mendapatkan rawatan di klinik kesihatan terdekat kerana mengalami sakit kepala dan sakit otot.

Menerusi pemeriksaan ringkas, doktor di klinik tersebut mendapati badannya kurang air yang boleh menyebabkan ia mengalami gejala lain dan memerlukan rawatan air 'drip' bagi mengelakkan hidrasi.

Bagi mengelak daripada menjadi lebih kronik, pegawai daerah berkenaan telah dipindahkan ke hospital utama negeri untuk rawatan lanjut.

Namun disebabkan terlalu banyak pesakit yang menunggu, maka pegawai terpaksa menunggu di wad kecemasan selama 12 jam sebelum dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan selanjutnya.

Melihatkan kepada kes ini, ia bukan sesuatu yang baharu.

Situasi menunggu lama di klinik dan hospital boleh dikatakan hampir berlaku di seluruh negara.

Walaupun tidak dapat dibuktikan pada angka-angka daripada jabatan berkenaan, namun jika di lihat deretan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital dan klinik ia agak membimbangkan.

Ada yang berpendapat kesukaran mendapatkan rawatan dengan segera adalah isu yang perlu dipandang serius.

Artikel Berkaitan:

Malah ada beberapa kawasan tiada perkhidmatan kesihatan penuh sehingga memaksa pesakit membuat perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan diperlukan.

Perkara-perkara ialah yang dikenal pasti oleh badan kebajikan dan persatuan perubatan ialah kesukaran mendapat akses penjagaan kesihatan, tenaga kerja perubatan yang efisyen dan kesesakan pesakit serta bilangan pakar yang tidak mencukupi.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah berkata, sektor kesihatan awam negara menghadapi situasi kekurangan dana, penuh sesak, kekurangan tenaga kerja dengan pekerja yang menerima gaji yang tidak setimpal serta menanggung beban kerja berlebihan.

Perbelanjaan tambahan harus disalurkan untuk meningkatkan kapasiti klinik dan hospital, menambah peruntukan perkhidmatan pencegahan bagi meningkatkan daya tahan rakyat dan membendung masalah kesihatan semakin berleluasa, termasuk masalah mental serta malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Sehubungan itu, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan perlu diberi perhatian dalam senarai utama bajet 2023.

Perancangan tersusun dan pragmatik perlu difikirkan dalam menaik taraf perkhidmatan dan operasi di hospital dan klinik kerajaan. Mungkin keutamaan boleh diberikan dalam setahun ini pada hospital atau klinik terpilih di kawasan penempatan tinggi.

Jika kerajaan tidak bercadang membina hospital awam baharu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menambah baik kemudahan sedia ada menerusi belanjawan yang bakal dibentangkan bulan depan.

Mungkin langkah drastik yang boleh diambil menerusi sistem 3R iaitu mengganti, memperbaiki dan mengekalkan kelengkapan di hospital bagi membolehkan untuk mendapatkan rawatan dengan lebih selesa.

Menurut laporan terdapat kemudahan lama perlu diganti supaya masih dapat berfungsi dengan baik.

Ini berikutan kebanyakan kemudahan sudah berusia lebih 20 tahun dan usang.

Menurut Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kerajaan patut membelanjakan lebih lagi untuk penjagaan kesihatan.

Buat masa ini perbelanjaan penjagaan kesihatan adalah sekitar tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedangkan lima peratus sebenarnya diperlukan untuk memastikan sistem mampu menyediakan akses menyeluruh untuk semua.

Kos berbilion ringgit untuk membaik pulih hospital-hospital ini tidak boleh dijadikan alasan tidak menyegerakan kerja-kerja naik taraf.

Jika perancangan teliti dibuat, urusannya sama sahaja dengan kerja-kerja menaiktaraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

Jangan beri alasan tidak ada duit.

Berdepan risiko ketirisan semasa tender belum ditawarkan perlu dielak.

Perlu pastikan ketelusan siapa layak mendapat projek.

Pelbagai pihak merasakan satu langkah drastik perlu diambil bagi mengatasi masalah perkhidmatan perubatan di seluruh negara.

Salah satu pengukur kekukuhan ekonomi sesebuah negara ialah apabila katil atau kemudahan lain berkaitan perubatan di hospital dan klinik mencukupi untuk masyarakat setempat.

Jika ini perkhidmatan dan kemudahan tidak dapat dipenuhi, walaupun dalam keadaan kecemasan dan terdesak maka kita tidak boleh berbangga dengan pencapaian ekonomi walaupun kita selalu mengatakan dapat mengatasi negara lain di rantau ini.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes