Taburan hujan Selangor cecah 400mm pertengahan September

Penduduk diminta berwaspada susulan perubahan monsun dijangka membawa kepada peningkatan jumlah terimaan hujan dan risiko banjir di Selangor. - Gambar hiasan
Penduduk diminta berwaspada susulan perubahan monsun dijangka membawa kepada peningkatan jumlah terimaan hujan dan risiko banjir di Selangor. - Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Selangor dijangka menerima taburan hujan antara 100 hingga 400 milimiter (mm) secara purata mulai pertengahan September ini susulan peralihan monsun.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang, Shahman Jalaludin berkata, perubahan monsun itu dijangka membawa kepada peningkatan jumlah terimaan hujan dan risiko banjir.

Menurutnya, dijangka fenomena air pasang besar dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang berdasarkan ramalan cuaca.

"Ramalan cuaca oleh Pusat Hidrografi Nasional menjangkakan paras air laut tertinggi dijangka mencapai paras 5.5 meter di Pulau Indah, Klang,

" Fenomena tersebut boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan dan membawa kepada risiko bencana banjir di kawasan penempatan penduduk, " katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, JPBD Klang telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Induk bersama semua agensi daerah pada 8 Ogos lalu bagi memastikan pelan tindakan pengurusan bencana jangka masa pendek dan panjang dapat dilaksanakan.

Selain itu katanya, semua agensi berkaitan turut diarahkan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena tersebut.

"Sebagai langkah proaktif dan mengambil iktibar kejadian bencana banjir yang menimpa Klang pada 17 hingga 19 Disember tahun lalu, JPBD Klang merangka pelaksanaan program pemerkasaan komuniti seperti menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) yang melibatkan pelbagai peringkat komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan CERT akan diberikan latihan dan kemahiran asas pengurusan bencana peringkat komuniti oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), " tambahnya.

Kata beliau, JPBD Klang turut bekerjasama dengan dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), APM, Pertubuhan Mercy Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menganjurkan bengkel Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Masyarakat (CBDRM) kepada masyarakat di kawasan berisiko tinggi di daerah itu.

Beliau turut mengingatkan penduduk untuk peka dengan keadaan semasa cuaca dan info-info terkini berkaitan bencana yang dikeluarkan oleh agensi kerajaan bertanggungjawab.

Tambahnya, semua penduduk diminta untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya arahan perpindahan dikeluarkan.