PPZ-MAIWP, PTPTN tingkat kesedaran menabung, bayar zakat

Ahmad Dasuki (kiri) dan Abdul Hakim (kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan PPZ-MAIWP di Menara PTPTN pada Isnin. Turut menyaksikan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff (dua dari kiri) dan Abdul Aziz. - Foto: Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahmad Dasuki (kiri) dan Abdul Hakim (kanan) bertukar dokumen perjanjian pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PTPTN dan PPZ-MAIWP di Menara PTPTN pada Isnin. Turut menyaksikan Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff (dua dari kiri) dan Abdul Aziz. - Foto: Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin.

MoU yang dimeterai diwakili Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman disaksikan oleh Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Kedua-dua pihak akan berganding bahu melaksanakan program kesedaran mengenai kepentingan membayar zakat dan penabungan melalui akaun Simpan SSPN dalam kalangan ibu bapa atau penjaga, remaja dan kanak-kanak yang beragama Islam di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, antara skop kerjasama MoU ini adalah melalui Kempen Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime (DZAS).

Apli berkata, kerjasama itu khususnya melibatkan pelanggan PTPTN dan pembayar zakat di PPZ-MAIWP.

Menurutnya, sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, menjadi hasrat dan misi utama PTPTN untuk mengajak masyarakat memulakan simpanan dari seawal usia bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.

“Kerjasama ini sebagai salah satu usaha proaktif PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan yang terjamin.

“Ia juga bertujuan mendidik masyarakat tentang kewajipan membayar zakat, mengoptimumkan potensi serta keberhasilan zakat merangkumi aspek kutipan, pengurusan zakat wakalah dan agihan zakat,” katanya semasa berucap pada majlis pertukaran MoU antara PTPTN dan PPZ-MAIWP di sini pada Isnin.

Jelas Apli, DZAS dilihat sebagai inisiatif terbaik yang dapat memberi manfaat dan pulangan berganda kepada pendeposit Simpan SSPN Prime dalam usaha menggalakkan amalan penabungan.

“Melalui kempen ini, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak berumur 15 tahun ke bawah perlu menunaikan zakat harta mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 setiap seorang di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen berlangsung.

“Selain itu, mereka juga berpeluang menikmati pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime sebanyak RM20 secara percuma dan menerima Sumbangan Pendidikan PPZ-MAIWP sebanyak RM100 seorang pada setiap tiga tahun sehingga anak berumur 18 tahun,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz menyifatkan MoU itu merupakan pendorong kepada lebih banyak penglibatan kerajsama strategik PPZ melibatkan agensi seperti PTPTN.

Artikel Berkaitan:

“Saya harap kerjasama ini akan dapat kita wujudkan secara berterusan,” ujarnya.

INFO:

Tempoh kempen bermula pada 1 September lalu - 31 Ogos 2023 dan tertakluk kepada 5,000 peserta terawal.

Pelanggan hanya perlu mengisi borang penyertaan skim DZAS secara dalam talian di dzas.zakat.com.my dan juga portal rasmi PPZ-MAIWP atau laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my

Status pendaftaran akan dimaklumkan melalui e-mel oleh pihak PPZ-MAIWP.