Kanak-kanak tanpa warganegara di Sabah perlu ditangani bersama

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian bangunan pusat pemindahan banjir Beaufort hari ini. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kiri) menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian bangunan pusat pemindahan banjir Beaufort hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BEAUFORT - Isu kanak-kanak tanpa warganegara di Sabah yang sekian lama dihadapi perlu ditangani secara bersama oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan kini mempunyai platform untuk menanganinya tetapi perlu diaktifkan iaitu melalui Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah.

"Di peringkat jawatankuasa induk dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Syafie Apdal) bersama Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Di sinilah tempatnya kita hendak melihat, kita tidak mahu pertindihan tugas dengan menubuhkan jawatankuasa baharu bagi menyelaras masalah yang wujud," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan pusat pemindahan mangsa bencana daerah Beaufort, di sini hari ini.

Beliau berkata masalah itu juga turut dihadapi di Semenanjung namun pada masa sama perlu menjaga hak-hak warganegara dengan baik. Baru-baru ini sebuah stesen televisyen swasta memaparkan sebuah perkampungan di Sabah berhampiran kawasan pembuangan sampah dihuni oleh komuniti termasuk kanak-kanak yang tidak mempunyai warganegara.

Terdahulu Wan Azizah merasmikan pusat pemindahan mangsa bencana di daerah Beaufort yang bernilai hampir RM5 juta.

Beliau berkata pusat yang dibina pada Disember 2016 itu siap sepenuhnya pada Jun tahun lalu mempunyai pelbagai kemudahan seperti bilik mandi, surau, dapur dan bilik operasi.

"Dengan adanya pusat pemindahan itu akan dapat membantu menempatkan mangsa banjir yang sering melanda daerah ini," katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan: