Tekanan darah Najib tinggi, bahaya akibat tukar ubat

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Tekanan darah Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berada pada tahap tinggi dan berbahaya ekoran pertukaran ubat baharu yang diberikan kepadanya.

Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi berkata, doktor menemui beberapa ulser baharu dalam perut bekas Perdana Menteri itu berdasarkan ujian yang dijalankan pada Sabtu.

Menurutnya, permohonan Najib untuk meneruskan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditolak oleh pegawai kesihatan di sana.

“Semalam (Sabtu), doktor di HKL telah membuat biopsi yang menyebabkan sedikit pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

“Najib meminta untuk membuat pemerhatian di HKL tetapi ditolak dan doktor melepaskannya (keluar hospital), menukar ubat-ubatannya daripada biasa yang beliau makan selama bertahun-tahun dan menghantarnya pulang ke Kajang.

“Pagi ini, ujian oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah beliau adalah tinggi dan berbahaya akibat perubahan ubat yang diberikan.

“Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu hakim pagi ini bahawa keadaan kesihatan Najib teruk dan perlu dihantar ke hospital,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang kerana mengalami masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Ujar Muhamad Mukhlis, masalah kesihatan yang dialami Ahli Parlimen Pekan itu telah berulang sejak lebih 15 tahun lalu.

Jelasnya, pada tahun 2010, Najib pernah dimasukkan ke hospital selama beberapa hari disebabkan masalah kesihatan tersebut.

“Pada tahun lepas, beliau juga berada di unit rawatan rapi (ICU) di hospital swasta selama seminggu yang mana beliau telah menjalani pemindahan darah sebanyak lima kali bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman,” tambahnya.

Dalam pada itu, menurutnya, atas dasar kemanusiaan, keluarga Najib turut merayu kepada pihak penjara, hospital dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan tindakan yang betul dan membenarkan Najib menerima rawatan serta pemerhatian perubatan sewajarnya.