Keadaan Najib agak teruk, akan dirujuk ke Hospital Kajang

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang ini kerana mengalami masalah kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sri Ram berkata, bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke hospital ekoran ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara, bahawa ubat tekanan tinggi yang diambil Najib telah berubah.

“Ia memberi kesan buruk dan keadaannya agak teruk, namun Datuk Seri Najib bersedia untuk mengikuti prosiding kes ini sehingga jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Sequerah kemudian bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan.

Najib yang hadir di mahkamah dengan memakai sut biru kelihatan tenang, duduk di kandang tertuduh tanpa pergerakan yang ketara.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, 71, dan anak perempuan mereka, Nooryana Najwa, 34.

Artikel Berkaitan:

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Prosiding bersambung Selasa.