Muda sedia bertemu PH untuk penjelasan

Amira Aisya (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat di sebuah kopitiam di Puteri Wangsa, Johor Bahru.
Amira Aisya (kanan) beramah mesra dengan penduduk setempat di sebuah kopitiam di Puteri Wangsa, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedia mengadakan pertemuan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH) menjelaskan semua isu berkenaan kerjasama Muda-PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, penjelasan isu-isu berbangkit akan dilakukan termasuk pelbagai dakwaan negatif berkenaan kerjasama politik tersebut.

"Muda sedia adakan pertemuan rasmi dengan PH dan leraikan setiap hal bersama-sama. Usaha saya dan rakan-rakan Muda adalah untuk memastikan apabila masuk ke dalam pilihan raya, rakyat jelas dan faham tawaran daripada pembangkang.

"Malah, komitmen Muda adalah memastikan hubungan baru ini dapat terus berkembang sebagai sebuah pasukan bukan sahaja untuk PRU15, tetapi dalam setiap perjuangan untuk rakyat pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sejak beliau dan rakan-rakan Muda mengumumkan hasrat parti itu untuk menyertai PH, perkara tersebut telah menjadi paparan utama berita seluruh negara.

Rata-rata katanya, melihat perkara itu adalah usaha yang berani dan progresif menjelang PRU15 untuk bersama-sama sebagai satu unit politik.

"Tapi saya juga nampak kerisauan, ragu-ragu dan kritikan dengan niat Muda untuk bersama PH ini.

"Ada yang kata Muda tidak ikhlas berjuang. Ada yang tambah, Muda ini cucu atok.

Artikel Berkaitan:

"Malah, ada juga yang sebut kononnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden Muda) juga lompat parti dulu, jadi tak boleh dipercayai," jelasnya.

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, semua dakwaan itu bukan sahaja tidak benar, malah dibina dengan imaginasi yang aneh-aneh.

"Muda dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan. Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara," katanya.