Muda setuju sertai Pakatan Harapan

Syed Saddiq (duduk, dua dari kiri) pada sidang media selepas Persidangan Pilihan Raya Muda pada Selasa.
Syed Saddiq (duduk, dua dari kiri) pada sidang media selepas Persidangan Pilihan Raya Muda pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Perkara itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya Muda berlangsung pada Isnin dan Selasa.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, justeru pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Menurutnya, perbincangan secara tidak rasmi bagi penyertaan Muda dalam PH telah dilakukan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Muda terbuka membincangkan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH tentang hala tuju negara untuk pastikan suara rakyat diangkat dan bina Malaysia maju, bermaruah serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum.

"Bukan sekadar kolaborasi dengan PH (untuk PRU15) tapi bermula perbincangan awal untuk penyertaan blok stabil dengan prinsip perjuangan yang sama.

"Saya tidak boleh ulas lanjut sehingga adanya rundingan rasmi," katanya pada sidang media selepas persidangan itu pada Selasa.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin dilapor berkata, gabungan itu masih belum membincangkan perkara berkaitan penyertaan Muda.

Artikel Berkaitan:

Anwar bagaimanapun berkata, PH tiada masalah dalam soal kerjasama dan perbincangan dalam kalangan pembangkang.

Pada sidang media sama, Syed Saddiq turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya Muda yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz.