Tasik Chini: Laporan siap, yakin status UNESCO tidak terjejas

Takiyuddin (tiga, kanan) menyaksikan Wan Rosdy (lima, kanan) menyiram pokok jenis Merawan Siput Jantan yang ditanam pada Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini pada Sabtu. - Foto Bernama
Takiyuddin (tiga, kanan) menyaksikan Wan Rosdy (lima, kanan) menyiram pokok jenis Merawan Siput Jantan yang ditanam pada Program Penanaman Pokok dan Penggayaan Tasik Chini pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PEKAN - Laporan yang mengandungi penambahbaikan di Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, di sini telah siap dan akan dihantar kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pada masa terdekat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, laporan berkenaan akan dihantar sendiri oleh kerajaan negeri yang akan diwakili Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

"Saya difahamkan kerajaan Pahang telah siap buat laporan terkini dan akan dihantar sendiri ke pejabat UNESCO di Paris yang uruskan perkara ini.

"Kita yakin status UNESCO kepada Tasik Chini tidak terjejas dan kita akan berikan penjelasan seperti yang diperlukan oleh pihak mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Penanaman Pokok dan Pengayaan di Tasik Chini di sini pada Sabtu, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

UNESCO memberi tempoh kepada Malaysia hingga 30 September ini untuk memaklumkan badan dunia itu mengenai perancangan bagi merawat dan memulihkan Tasik Chini serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar merupakan Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia yang diiktiraf UNESCO di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) pada 26 Mei 2009.

Selain Tasik Chini, Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO bagi Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara kawasan Tasik Chini antaranya penghijauan bumi itu sendiri, iaitu dengan penanaman pokok selain melaksanakan penguatkuasaan dan menghentikan aktiviti melombong.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menerima bukan teguran, tetapi saranan daripada pihak yang beri pengiktirafan supaya kita laksanakan penambahbaikan, tidak ada apa-apa pelanggaran. Justeru, kerajaan menerusi kementerian dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah ambil tindakan untuk berikan penambahbaikan di Tasik Chini ini," katanya.

Mengenai program pada Sabtu, beliau berkata, 1,000 pokok pelbagai spesies telah ditanam dan setakat ini menerusi kempen penanaman 100 juta pokok, Pahang telah menanam 4.9 juta pokok.

"Di seluruh negara pula kita berjaya tanam lebih 40 juta pokok, dan kita yakin bilangan itu akan bertambah...cuma saya lihat ada negeri yang kurang aktif. Justeru, kementerian menerusi JPSM akan susun program supaya ia dapat diaktifkan lagi," katanya. - Bernama