PSM, MASTAF masih cari titik persamaan

Mohd Sumali - Foto Bernama
Mohd Sumali - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) sedang mencari titik persamaan bagi memastikan penggabungan dapat dilaksanakan dengan segera.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, penggabungan antara dua entiti itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda sukan sepak takraw negara demi kelangsungan pembangunan sukan berkenaan.

"Usul mengenai penggabungan PSM dan MASTAF ini sudah lama dibincangkan kira-kira enam ke tujuh bulan lepas apabila semua pihak sudah kusut jadi timbulnya isu itu, namun setakat ini tiada keputusan atau titik persamaan yang dapat kami persetujui.

"Kami masih berusaha untuk menyelesaikan isu ini dan kena faham situasi saya walaupun sebagai Presiden PSM, bawah (persatuan) ini ada 16 ahli gabungan jadi kena juga hormat pandangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku Pelan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia (PPSM) yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Reezal Merican (dua, kiri) melancarkan Pelan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia (PPSM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Reezal Merican (dua, kiri) melancarkan Pelan Pembangunan Sepak Takraw Malaysia (PPSM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama

Buku PPSM adalah satu garis panduan kepada penggiat sukan sepak takraw daripada peringkat akar umbi hingga tahap yang lebih tinggi bagi memastikan sukan berkenaan terus maju pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Mohd Sumali memaklumkan PSM telah menerima notis tujuh hari daripada Pesuruhjaya Sukan (PJS) selepas MASTAF tidak mempersetujui syarat ditetapkan pihak mereka dan perlu memberi maklum balas bertulis selewat-selewatnya minggu hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang dimaklumkan dalam notis daripada PJS ialah MASTAF tidak bersetuju syarat ditetapkan PSM untuk bergabung, jadi selepas ini kita perlu membalas apa langkah seterusnya. Kalau tanya saya mungkin perlu duduk semeja dengan MASTAF tanpa melalui orang tengah (PJS) untuk selesaikan.

"Saya juga berani lepaskan jawatan namun perlu adakan mesyuarat agung tahunan (AGM) semula untuk menentukan siapa yang paling layak supaya kemelut selesai dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican menyumbangkan insentif RM200,000 untuk buku PPSM dan berharap sukan sepak takraw negara terus maju di masa hadapan untuk memberi saingan di pentas antarabangsa.

Beliau yang pernah memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, turut berhasrat menganjurkan kejohanan sukan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun depan yang dijangka diadakan secara dwitahunan, dan akan dibincangkan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menetapkan jenis sukan bakal dipertandingkan.

MASTAF kini merupakan badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Mac lepas dan turut diterima menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) pada April susulan keputusan ASTAF menggugurkan keahlian entiti terdahulu iaitu PSM pada Mei 2021. - Bernama