PSM, MASTAF cari jalan damai

PSM mahupun MASTAF perlu bergerak seiring dalam memartabatkan sukan sepak takraw negara.
PSM mahupun MASTAF perlu bergerak seiring dalam memartabatkan sukan sepak takraw negara.
A
A
A

BIBIT-BIBIT kesepakatan antara dua badan induk, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) semakin menampakkan tanda positif.

Dalam menyelesaikan kemelut sukan sepak takraw negara, PSM mahupun MASTAF sedia 'berdamai' dan menjalinkan kerjasama antara satu sama lain.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

“Untuk bergabung kita setuju kalau itulah jalan yang terbaik tetapi mesti kena ada terma dan syaratnya, tak boleh bergabung macam itu sahaja.

“Lagipun, PSM ada16 ahli gabungan, manakala MASTAF ada lima sahaja ahli gabungan. Keputusan pun bukan saya boleh buat seorang, kena juga dapatkan pendapat ahli gabungan yang lain.

“Sebarang keputusan yang dibuat, sudah tentu kami akan memikirkan mengenai sepak takraw itu sendiri, bukan untuk PSM mahupun MASTAF,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Presiden MASTAF, Datuk Suhaili Abdul Rahman pula berkata, pihaknya sedia 'membuka pintu' buat mana-mana ahli gabungan PSM yang mahu bersama mereka.

“MASTAF telah mengumumkan tentang penerimaan ahli-ahli gabungan PSM sejak Februari lagi tetapi malangnya tidak ada yang mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan MASTAF.

Artikel Berkaitan:

“Jika sekarang ada ahli gabungan PSM nak jadi ahli gabungan MASTAF, kami memang alu-alukan demi kebaikan sukan sepak takraw negara,” ujarnya.

Menurut Suhaili, kesediaan PSM itu sebenarnya adalah hasrat daripada pihak MASTAF sendiri yang menawarkan kepada ahli gabungan PSM menyertai mereka sejak awal lagi.

“Kami memang dah jemput ahli-ahli gabungan PSM untuk sertai MASTAF tetapi tiada sambutan. Apa pun, kami tetap mengalu-alukan penyertaan mereka tanpa syarat.

“Sekarang PSM pula yang berikan syarat, seolah-olah 'aku jemput kau masuk ke rumah aku tetapi kau pula yang bagi syarat', tak bolehlah macam itu,” jelas beliau.