Tiada keperluan rundingan dengan PSM: MASTAF

Suhaili - Foto Bernama
Suhaili - Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman berpandangan tiada keperluan untuk ‘rundingan damai’ dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) kerana pihaknya tidak bergaduh dengan persatuan itu serta ahli-ahli gabungannya.

Katanya, pihaknya juga sehingga kini tidak menerima permohonan rasmi daripada pihak PSM untuk berbincang ataupun menyertai MASTAF.

"Saya nasihatkan supaya ahli gabungan PSM yang berhasrat untuk menyertai MASTAF memohon seperti biasa tanpa (meletakkan) syarat.

".. kerana semua presiden (persatuan) negeri yang diterima menyertai sebagai ahli gabungan MASTAF secara automatik adalah naib presiden, mengikut perlembagaan MASTAF,” kata Suhaili yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) ketika dihubungi Bernama, pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai ketetapan dibuat PSM dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi mereka pada Jumaat lepas untuk ahlinya bergabung dengan MASTAF.

Pada mesyuarat itu, Jawatankuasa Tertinggi PSM memutuskan supaya rundingan antara PSM dan MASTAF dimulakan bagi mengkaji dan meneliti terma-terma yang perlu dipersetujui kedua-dua pihak demi kepentingan bersama sukan sepak takraw negara.

MASTAF dilaporkan kekal dengan perancangan menubuhkan persatuan penaja di negeri bukan ahli gabungannya selepas tempoh diberikan kepada persatuan negeri dan ahli bersekutu yang bernaung di bawah PSM untuk menyertai mereka berakhir bulan lepas.

MASTAF kini merupakan badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Mac lepas, sebelum turut diterima menjadi ahli gabungan ISTAF pada April ekoran ASTAF menggugurkan keahlian entiti terdahulu iaitu PSM pada Mei 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: