MPN saran bank pertimbang cadangan moratorium kepada PKS

Muhyiddin beramah mesra bersama penduduk setempat yang hadir pada Jualan Prihatin PN di Bukit Pasir, Pagoh hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin beramah mesra bersama penduduk setempat yang hadir pada Jualan Prihatin PN di Bukit Pasir, Pagoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PAGOH - Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan institusi perbankan agar mempertimbangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya bagi mereka yang masih bergelut untuk pulih pasca Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sudah tiga kali mesyuarat MPN membincangkan mengenai PKS, yang mana antara lainnya memohon bantuan dari segi kewangan memandangkan ada antara mereka masih tidak dapat pulih dan perniagaan merosot.

Ini ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini yang dilihat bukan sahaja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi negara malah prestasi PKS yang kini menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara, katanya.

"Dalam mesyuarat (MPN) lepas mereka (PKS) minta supaya institusi perbankan meneliti balik (sama ada) boleh untuk diadakan satu lagi moratorium khas. (Saya rasa) walaupun moratorium, mereka (bank) tidak akan rugi banyak. Bagi sedikit masa, mereka (PKS) nak pulih tapi tak boleh pulih lagi (sekarang),” katanya kepada pemberita selepas program Jualan Prihatin Rakyat di Bukit Pasir dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kegusaran orang ramai terhadap kesan kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau berharap agar kerajaan turut melihat kesan tersebut ke atas PKS yang merupakan antara sektor utama menyumbang kepada ekonomi negara.

"Kalau mereka (PKS) tidak cergas dalam menghasilkan pengeluaran yang boleh dipasarkan, yang boleh kompetitif, bermakna pemulihan itu akan terjejas.

"(Pemulihan) makin lambat dengan bebanan kos dengan kenaikan kadar inflasi dan sebagainya, ini akan jadi satu masalah yang besar," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut berharap agar kerajaan dapat melihat kepada kenaikan OPR tersebut dan seterusnya mencari jalan untuk membantu mengurangkan beban rakyat pada pembentangan Bajet 2023 akan datang.

Pada Khamis lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

Sementara itu, mengenai Jualan Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan hangat selepas beberapa kali dianjurkan di sekitar kawasan Parlimen tersebut, Muhyiddin berkata, program itu akan diperluaskan di seluruh negara tidak lama lagi.

Beliau berkata, jualan tersebut yang menawarkan sekampit beras lima kilogram, sepapan telur ayam dan seekor ayam pada harga RM20, merupakan antara usaha pihaknya yang menyasarkan kepada golongan terkesan terutamanya B40.

Justeru katanya, beliau turut berharapkan sumbangan dan kerjasama daripada syarikat korporat untuk menyertai program tersebut. - Bernama