Banjir Pakistan: Masjid di Perak sumbang kutipan tabung Jumaat

Khatib bertugas mengumumkan mengenai kutipan Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pakistan ketika membacakan teks khutbah Jumaat di Masjid Daerah Sultan Idris Shah II, di Teluk Intan pada Jumaat.
Khatib bertugas mengumumkan mengenai kutipan Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan kepada mangsa banjir di Pakistan ketika membacakan teks khutbah Jumaat di Masjid Daerah Sultan Idris Shah II, di Teluk Intan pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - Semua masjid di Perak akan menyumbang sebahagian kutipan tabung Jumaat untuk membantu mangsa banjir di Pakistan.

Perkara itu diumumkan khatib ketika membacakan teks khutbah Jumaat, hari ini yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Jumaat.

Menurut teks khutbah berkenaan, malapetaka yang menimpa lebih 5.2 juta penduduk Pakistan itu disifatkan sebagai ujian daripada ALLAH, bukan sahaja kepada penduduk di kawasan bencana berkenaan, tetapi juga kepada manusia di seluruh dunia.

"Mimbar menyeru masjid, surau dan para jemaah dengan penuh ikhlas bersetuju sebahagian daripada kutipan tabung masjid dan surau pada hari ini, didermakan ke Tabung Bantuan Bencana dan Kemanusiaan.

"Semoga kita menunjukkan rasa insaf dan syukur kita yang tidak mengalami nasib sedemikian dengan bermurah hati menghulurkan derma bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita di Pakistan," kata khatib bertugas yang membacakan teks khutbah bertajuk Menghayati Budaya Berilmu.

Angka korban akibat banjir di Pakistan mencecah 1,325, dengan 11 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut agensi bencana negara itu pada Isnin.

Kesemua 11 mangsa yang terkorban berasal dari wilayah selatan Sindh, dengan kejadian banjir terbaharu menenggelamkan lebih banyak kawasan dalam tempoh 48 jam, lapor Agensi Anadolu.

Sejak 14 Jun, seramai 289 orang maut di Khyber Pakhtunkhwa, diikuti 260 terkorban di Balochistan, manakala 189 orang maut di wilayah timur laut Punjab, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

Artikel Berkaitan:

Seramai 12,703 orang dilaporkan cedera akibat hujan dan banjir melanda seluruh negara sejak 14 Jun.

Sementara itu, pada 7 September lalu, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) memohon semua pihak agar menyokong usaha membantu mangsa banjir yang di Pakistan melalui sumbangan Tabung Rayuan BSMM untuk Banjir Monsun Pakistan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) baru-baru ini telah melancarkan Rayuan Kecemasan berjumlah CHF25,000,000 bagi menyokong Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan meningkatkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat yang terjejas.