BSMM mohon sumbangan bantu mangsa banjir di Pakistan

Tunku Puteri Intan Safinaz menderma semasa pelancaran Tabung Bantuan Banjir Monsun Pakistan BSMM di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM.
Tunku Puteri Intan Safinaz menderma semasa pelancaran Tabung Bantuan Banjir Monsun Pakistan BSMM di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM.
A
A
A

SHAH ALAM - Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) memohon semua pihak agar menyokong usaha membantu mangsa banjir yang di Pakistan melalui sumbangan Tabung Rayuan BSMM untuk Banjir Monsun Pakistan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) baru-baru ini telah melancarkan Rayuan Kecemasan berjumlah CHF25,000,000 bagi menyokong Persatuan Bulan Sabit Merah Pakistan meningkatkan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat yang terjejas.

Bantuan itu juga memberi sokongan dalam jangka panjang untuk membina semula kehidupan mereka.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah berkata, pihaknya amat sedih dan bimbang dengan keadaan banjir di Pakistan serta kemusnahan yang berlaku kepada sesama manusia.

“Kita mesti bertindak pantas dan bertindak segera untuk membantu menyelamatkan nyawa dan menyokong mereka yang memerlukan bantuan.

"Saya juga merayu kepada ahli-ahli media cetak dan elektronik untuk membantu menerbitkan panggilan segera ini untuk menyokong masyarakat Pakistan yang terdesak dan memerlukan bantuan kami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, menurutnya, Pakistan mengalami hujan monsun di luar jangkaan, hampir tiga kali lebih tinggi daripada purata 30 tahun yang lalu, menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di seluruh negara yang menjejaskan lebih daripada 33 juta orang.

Tambahnya, lebih daripada 1,000 orang maut akibat banjir sejak pertengahan Jun, termasuk lebih daripada 300 kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“BSMM sebagai komponen aktif Pergerakan Palang Merah Antarabangsa dan Bulan Sabit Merah dan salah satu daripada 192 Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyatakan kebimbangan kami dan menyokong Rayuan Kecemasan ini untuk membantu rakyat Pakistan.

“BSMM ingin juga merayu kepada orang ramai, syarikat, sektor swasta dan organisasi untuk menyokong usaha ini dan menderma dengan murah hati kepada Rayuan BSMM untuk Banjir Monsun Pakistan,” ujarnya.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi melalui talian 03-21438122 atau emel iaitu secgen@redcrescent.org.my