Kontraktor diberkas mengugut, berang tak dapat projek

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Seorang kontraktor diberkas kerana membuat ugutan jenayah terhadap seorang penyelia tapak di Taman Dagang Business Centre, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian ugutan itu dilaporkan berlaku pada Selasa selepas mangsa seorang wanita berusia 27 tahun yang ketika itu berada di pejabatnya menerima mesej suara melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek.

Menurutnya, mangsa telah dimaki dengan perkataan lucah, berbaur perkauman selain ugutan akan diserang.

"Bertindak hasil maklumat, polis telah menahan suspek lelaki tempatan di Jalan Uranus U5/127 Shah Alam, Selangor kira-kira jam 1.15 petang pada Khamis. Turut dirampas telefon bimbit miliknya.

"Semakan mendapati suspek berusia 40 tahun yang juga seorang kontraktor itu memiliki lima rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohamad Farouk, suspek yang positif dadah itu juga mempunyai rekod masih kehendaki bagi kesalahan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Katanya, punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang tidak melantik syarikat suspek untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih premis (penurapan tar jalan) di sebuah sekolah di Semenyih.

"Suspek kini direman empat hari sehingga Ahad untuk siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: