Honda HR-V tak dapat, rugi pula RM90,000

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mengalami kerugian RM90,000 selepas terpedaya dengan penipuan pembelian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun pada 12 Mei lalu.

"Pengadu memaklumkan telah berurusan dengan satu lelaki yang bekerja sebagai ejen jualan di syarikat kenderaan terkemuka di sini pada 9 Januari lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Amihizam berkata, mangsa telah membuat bayaran tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran tersebut telah diserahkan kepada syarikat tersebut.

"Pengadu kemudian telah membuat pembayaran wang secara tunai dan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek pada 29 April hingga 4 Mei lalu," katanya.

Beliau berkata, pengadu telah terima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima bayaran pendahuluan pada 11 Mei lalu.

"Pengadu dimaklumkan bahawa suspek tidak bekerja lagi dengan syarikat tersebut. Suspek telah dikenal pasti, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Amihizam berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan scammer.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.