Rumah dua beranak di Rembau rosak akibat ribut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Rumah dua beranak di Kampung Tanjung Berangan Sepri, Rembau dekat sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut petang Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, kejadian kira-kira 6.30 petang itu menyebabkan rumah anak perempuannya mengalami kerosakan 80 peratus manakala rumah ibu bapanya hanya tercabut bumbung.

"Anak perempuannya mengalami kerugian harta benda antara RM50,000 hingga RM100,000 selepas bumbungnya tercabut, mengakibatkan barangan elektrik dan perabot rosak.

"Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, mangsa guru di institut memandu, Anita Abdul Wahab, 59, berkata, dia tidak berada di rumah ketika kejadian kerana sedang bekerja dan dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ibunya sebelum bergegas pulang ke rumah.

"Sebaik sampai di rumah saya terkejut dapati bumbung rumah dah tercampak entah ke mana, rumah rosak teruk, ibu kata kejadian berlaku sekelip mata, ingatkan hujan lebat biasa, tapi kali ini berserta ribut, ini kejadian pertama kali berlaku pada saya,” katanya ketika dihubungi. - Bernama

Artikel Berkaitan: