Individu dikompaun RM1,000 buang sampah haram

Anggota Unit Urban Force (Special Team) MBPJ mengesan longgokan sampah di tempat awam di Jalan PJS 1/21A sebelum berjaya mengesan individu terbabit.
Anggota Unit Urban Force (Special Team) MBPJ mengesan longgokan sampah di tempat awam di Jalan PJS 1/21A sebelum berjaya mengesan individu terbabit.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Unit Urban Force (Special Team) MBPJ berjaya mengesan kegiatan membuang sampah pukal secara haram di Jalan PJS 1/21A di sini pada Khamis.

MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan seorang individu beralamat di Kelana Jaya yang dikenal pasti terlibat berjaya dikesan sebelum dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah UUK 4 UKPPS (MBPJ) 2007.

"Hasil rondaan dari Unit Urban Force (Special Team) Majlis Bandaraya Petaling Jaya di Jalan PJS 1/21A menemui sampah haram berupa sisa kayu, bungkusan alat-alat elektronik berupa komponen antena dan pelbagai jenis kotak.

"Siasatan lanjut hasil maklumat carian di lokasi dan keterangan daripada pekerja premis berhampiran, MBPJ telah mengesan suspek berkenaan dan individu terbabit adalah pekerja sebuah syarikat pengangkutan yang beralamat di Kelana Jaya.

"Kompaun sebanyak RM1,000 dikeluarkan di bawah UUK 4 UKPPS (MBPJ) 2007 dan diserahkan kepada individu terbabit, selain amaran serta nasihat turut diberikan agar tidak membuang sampah di tempat awam," kata kenyataan itu pada Khamis.

Dalam pada itu, MBPJ turut menggesa orang awam agar memuat turun aplikasi iClean Selangor yang sedia membantu untuk menempah perkhidmatan kutipan sampah sama ada sampah domestik ataupun pukal seperti perabot, tilam dan sisa pepejal yang besar serta tidak sesuai ditempatkan di tong sampah.

"Aduan boleh dibuat menerusi e-mail, aduan@mbpj.gov.my atau hotline: 03 - 79542020, laman Facebook MBPJ iaitu https://www.facebook.com/mbpjaduan/ atau https://embpj.mbpj.gov.my/ dan aplikasi 'eaduan MBPJ' (playstore) serta Whatsapp di talian 011-12017914 (waktu bekerja sahaja)," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: