[VIDEO] Pelantikan 4,101 penolong amil Selangor kini digital
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) melaksanakan sepenuhnya proses pendaftaran dan pelantikan penolong amil secara digital bagi sesi 2027 hingga 2030 menerusi Sistem Pendaftaran Penolong Amil yang membabitkan semua masjid di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, sistem baharu itu diperkenalkan bagi memperkemas urusan pelantikan membabitkan tiga kategori iaitu Penolong Amil Kariah, Penolong Amil Fitrah dan Penolong Amil Komuniti.
Menurutnya, sistem yang mula digunakan pada 24 November lalu itu membolehkan pihak masjid menguruskan pelantikan secara lebih sistematik termasuk penyediaan surat tawaran, surat pelantikan, terma dan syarat, panduan serta kad tauliah yang dilengkapi kod respons pantas (QR).
"Melalui pendigitalan proses pelantikan ini, pihak masjid akan lebih mudah menguruskan pelantikan Penolong Amil secara sistematik dan menyeluruh.
"Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa dan mengurangkan urusan dokumentasi fizikal, malah memastikan rekod pelantikan lebih tersusun dan telus," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Negeri Selangor di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir berkata, usaha pendigitalan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Zakat Selangor untuk melahirkan barisan penolong amil yang profesional dan kompeten dalam membantu institusi berkenaan memperkukuh agenda pemerkasaan ummah.
Katanya, pada tahun lalu Zakat Selangor turut membangunkan Sistem Portal Penolong Amil Kariah (PAK) bagi membolehkan Penolong Amil Kariah dan Penolong Amil Komuniti menjalankan siasatan serta menguruskan permohonan bantuan asnaf di peringkat kariah secara dalam talian.
"Bagi Penolong Amil Fitrah dan Padi pula, penggunaan aplikasi mudah alih serta e-resit tanpa kertas diperluaskan bagi memudahkan urusan kutipan zakat secara digital tanpa bergantung kepada buku kupon fizikal.
"Ketika ini seramai 4,101 penolong amil berdaftar dengan Zakat Selangor terdiri daripada 1,353 Ketua dan Penolong Amil Kariah, 2,607 Ketua dan Penolong Amil Fitrah serta 141 Penolong Amil Komuniti," katanya.
Menurutnya, barisan penolong amil yang dilantik setiap tiga tahun itu merupakan duta dan petugas barisan hadapan Zakat Selangor yang bertanggungjawab menghubungkan pembayar zakat dengan golongan asnaf di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, seiring dengan pertambahan jumlah asnaf di Selangor saban tahun, khidmat bakti dan keringat mereka di lapangan menjadi nadi kekuatan utama pihaknya.
"Tanpa keikhlasan dan kesungguhan para Penolong Amil dalam menghubungkan pembayar zakat dengan asnaf setempat, sudah tentu usaha kita membasmi kemiskinan dan memperkasa sosioekonomi ummah tidak akan mencapai tahap seperti yang dirancang sampai hari ini.
"Selain menguruskan kutipan zakat fitrah dan padi, tanggungjawab penolong amil turut merangkumi bancian, pengurusan permohonan bantuan, semakan semula status asnaf fakir, miskin dan mualaf serta memberikan bimbingan berterusan kepada golongan mualaf mengikut kategori pelantikan masing-masing," katanya.
Dalam perkembangan sama, seramai 185 penolong amil menerima pengiktirafan menerusi tujuh kategori anugerah sebagai tanda penghargaan terhadap prestasi cemerlang mereka dalam pengurusan zakat.
Penerima terdiri daripada 18 Ketua Penolong Amil Kariah Terbaik, 22 Ketua Penolong Amil Fitrah Terbaik, 96 Penolong Amil Kariah Terbaik, 36 Penolong Amil Fitrah Terbaik, empat Penolong Amil Padi Terbaik, lima Penolong Amil Komuniti (Guru Pembimbing Asnaf Mualaf) Terbaik dan empat penerima Anugerah Penolong Amil Terbaik Keseluruhan.
Setiap penerima menerima sijil dan plak penghargaan berserta wang tunai antara RM400 hingga RM750 mengikut kategori masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

