Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tempat buang sampah

Mayat lelaki yang sudah reput dan tidak dikenali identitinya ditemui di tempat pembuangan sampah di tepi Jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, Muar pada Jumaat.
Mayat lelaki yang sudah reput dan tidak dikenali identitinya ditemui di tempat pembuangan sampah di tepi Jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, Muar pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Satu mayat lelaki ditemukan tidak berpakaian dan hanya memakai seluar dalam di tempat pembuangan sampah di tepi Jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Muhkhliz Azman Aziz berkata, mayat berkenaan ditemui tanpa sebarang identiti atau pengenalan diri dan berada dalam keadaan terlentang.

"Pemeriksaan fizikal ke atas mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar mendapati keadaan mayat telah pun mereput.

"Mayat dihantar ke unit forensik HPSF dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat trauma tumpul dan dipercayai adanya unsur jenayah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, lokasi penemuan mayat berkenaan merupakan tempat pembuangan sampah berdasarkan terdapat longgokan sampah sarap di situ.

"Setakat ini, pihak polis masih lagi menyiasat keberadaan sebenar mayat sama ada ianya merupakan tempat kejadian kematian berlaku atau merupakan tempat kejadian kedua iaitu mayat dibuang atau diletakkan di situ," ujar beliau.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

Polis katanya, memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Zakini Ab Latif menerusi talian 013-233 8184.