Sewa parkir sorok 44kg ganja dalam but kereta

Ashari (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganjan yang ditemui dalam serbuan tersebut.
Ashari (tengah) menunjukkan ketulan mampat ganjan yang ditemui dalam serbuan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sebuah sindiket menyewa lot parkir dalam kawasan perumahan mewah untuk menyimpan dadah di dalam but kereta terbongkar selepas digempur polis menerusi satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Wangsa Maju menemui sebanyak 44 kilogram (kg) ketulan mampat ganja, syabu seberat 6.34 gram (g) dan 110 biji pil ekstasi dalam serbuan terbabit.

"Pada jam lebih kurang 1.40 petang bertindak atas maklumat polis telah menahan dua lelaki tempatan di sebuah kondominium dan merampas satu peket plastik di dalamnya mengandungi dua plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah.

"Sebanyak 6.34g methamphetamine, plastik lut sinar mengandungi 110 biji pil ekstasi berwarna hijau, dan satu beg berwarna merah terdapat satu kertas foil berwarna jingga mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 1,038g," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada Khamis.

Ashari berkata, dipandu arah kedua-dua suspek pasukan serbuan menemui 45 ketulan mampat ganja di dalam but sebuah kereta jenis Nissan Sentra seberat 44kg yang diletakkan di lot parkir tingkat dua kondominium tersebut.

"Menurut pihak pengurusan lot parkir terbabit disewa oleh suspek dan kenderaan tersebut digunakan sebagai stor simpanan dadah. Mereka tidak simpan di dalam rumah kerana tahu jika diserbu akan dirampas pihak berkuasa.

"Hasil soal siasat pihak polis menahan seorang lelaki tempatan di kawasan perumahan setinggan di sekitar Sentul di sini disyaki terlibat sindiket terbabit," katanya.

Dalam pada itu Ashari berkata, siasatan lanjut mendedahkan bahawa sindiket berkenaan aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar ibu negara sejak November 2021.

Artikel Berkaitan:

"Suspek ini berperanan sebagai orang tengah untuk menjual dadah berkenaan. Mereka sebenarnya amat berhati-hati, licik dan kita yakin mereka ada rangkaian lebih besar.

"Mereka hanya berurusan dengan pembeli tetap dan berhubung secara dalam talian dan hanya akan jual kepada pelanggan yang mereka yakin sahaja," katanya.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai mendapatkan bekalan dari Kedah di mana siasatan awal mendapati dibawa masuk daripada negara Thailand.

Sehubungan itu beliau memberitahu, semakan rekod mendapati kesemua suspek yang berusia lingkungan 31 ke 32 tahun mempunyai pelbagai rekod dan salah seorang daripada mereka yang juga orang kanan sindiket mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau.

"Kesemua suspek direman lima hari bermula Rabu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," ujar beliau.