'Itu video lama, anggota polis terlibat sudah kena tindakan'

Kejadian pada tahun 2020 itu ditularkan semula di media sosial baru-baru ini.
Kejadian pada tahun 2020 itu ditularkan semula di media sosial baru-baru ini.
A
A
A

KAJANG - Klip video tular memaparkan beberapa anggota polis peronda tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap seorang penunggang motosikal warga asing membawa besi buruk merupakan kejadian pada tahun 2020 yang ditularkan semula.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian terbabit berlaku pada 4 Mac membabitkan anggota Balai Polis Batu 9 semasa melakukan tugasan rondaan dan tindakan tatatertib telah diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Kejadian berlaku pada jam lebih kurang 10.09 pagi di tepi jalan Suria Jaya, Taman Suria Jaya, Batu 9 apabila mereka ternampak sebuah motosikal roda tiga yang dinaiki oleh warganegara Myanmar yang membawa besi buruk.

"Anggota bertugas tersebut telah menahan dan membuat pemeriksaan rutin. Setelah pemeriksaan dijalankan anggota bertugas telah melepaskan lelaki Myanmar itu dan tidak mengambil apa-apa tindakan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Klip video berdurasi 51 saat itu memaparkan tiga anggota polis menahan seorang penunggang motosikal di tepi jalan dan individu yang merakam kejadian itu mendakwa penunggang motosikal terbabit memberikan wang kepada anggota berkenaan sebelum dilepaskan.

Sehubungan itu Mohd Zaid berkata, siasatan terhadap kesemua anggota terbabit telah dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Siasatan dari sudut tatatertib juga telah selesai serta tindakan telah diambil oleh JIPS IPK Selangor pada 3 Jun 2020.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan ulang siar video atau gambar sewaktu kejadian yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat atau mengaibkan mana-mana pihak," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: