Risiko bencana nuklear sukar diramal

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

MINGGU lalu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akhirnya berjaya melancarkan misi ke kompleks nuklear terbesar Eropah sebagai usaha untuk mengelak bencana Chernobyl pada 1986 daripada berulang.

Ia dipimpin Ketua IAEA, Rafael Grossi yang sanggup bergadai nyawa bersama sekumpulan pakar antarabangsa merentasi medan pertempuran di bandar Enerhodar yang terletak di selatan Ukraine demi untuk menjayakan misi berisiko tinggi.

Beberapa hari selepas misi pemeriksa tersebut tamat, badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akhirnya mengeluarkan laporan yang ditunggu-tunggu tentang tahap kemusnahan sebenar di kemudahan berkenaan setelah pemimpin antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kebocoran radiasi yang berpotensi mengakibatkan ‘malapetaka dahsyat’.

Menurut laporan tersebut, pakar IAEA telah menemui kerosakan besar di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) yang masih menjadi sasaran bedilan konflik Rusia-Ukraine setelah ia mendakwa seluruh prinsip keselamatan nuklear telah dilanggar pihak bertelagah.

“Kami menggesa pertempuran dihentikan walaupun serangan berterusan belum mencetuskan kecemasan nuklear. Ia tetap mengancam dan berpotensi memberi impak kepada fungsi keselamatan kritikal.

“Risiko tetap ada melainkan kedua-dua belah pihak menghentikan pertempuran untuk mengelak kerosakan tambahan pada loji tersebut dan kemudahan berkaitan serta demi keselamatan kakitangan operasi, di samping mengekalkan integriti fizikal bagi menyokong operasi yang selamat dan terjamin.

“Langkah penubuhan zon perlindungan dan keselamatan nuklear ini memerlukan persetujuan kesemua pihak berkaitan,” jelas kandungan laporan berkenaan.

Sehingga kini, Moscow dan Kiev saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain membedil kemudahan Zaporizhzhia hingga mencetuskan beberapa insiden termasuk kebakaran di kompleks yang dibina pada 1980-an itu.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan pemeriksa turut menemui peralatan milik tentera Rusia yang ditempatkan di kompleks tersebut, sekali gus membuktikan Moscow sememangnya menggunakan loji berkenaan sebagai ‘perisai’ mereka setelah ia diambil alih pada Mac lalu.

“Kakitangan Ukraine yang mengendalikan kemudahan itu selepas pengambilalihan tentera Rusia sentiasa berada di bawah tekanan, selain berdepan masalah kekurangan staf.

“Jika berlaku kesilapan manusia, situasi tersebut juga boleh mengundang bahaya,” menurut laporan itu lagi.

Susulan ancaman yang semakin meningkat, saintis telah mengeluarkan ramalan baharu berdasarkan keputusan simulasi tentang skala kebocoran radiasi jika kemalangan berlaku di ZNPP.

Zon pencemaran radioaktif itu dijangka melibatkan selatan Ukraine termasuk Crimea dan kemudiannya bergerak ke Turkiye, Greece, Bulgaria, Moldova serta Romania.

Selain itu, persoalan yang sering timbul ialah apa yang akan berlaku jika terjadi letupan di kompleks tersebut yang mempunyai enam reaktor mengandungi uranium 235.

Adakah gambarannya sama seperti bencana Chernobyl yang berlaku kira-kira 36 tahun lalu atau bakal berdepan situasi seperti dihadapi Loji Nuklear Fukushima Daiichi di Jepun pada 2011?

Profesor MV Ramana daripada Fakulti Dasar Awam dan Hal Ehwal Global di University of British Columbia menjelaskan, insiden itu akan menghasilkan awan radioaktif yang tidak kelihatan.

“Impak letupan tersebut termasuk keracunan radiasi akut atau barah yang mungkin boleh dilihat selepas beberapa bulan atau tahun kemudian,” jelasnya.

Perkara paling dibimbangkan pakar adalah jika berlaku pembebasan radiasi walaupun hanya dua daripada enam reaktor di kompleks itu masih beroperasi.

“Ia boleh menjadi situasi yang sangat menakutkan dan berpotensi menjadi bencana sukar diramal.

“Kedudukan geografinya berada di tengah-tengah Eropah. Tidak kira ke mana arah tiupan angin, penduduk di rantau itu tetap akan terima impak kebocoran radiasi,” jelas penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Kajian Perang di King's College London, Amelie Stoetzel.

Secara umum, pakar menyatakan sukar untuk meramalkan senario mungkin berlaku atau kesan jangka panjang kerana satu-satunya perkara yang pasti ialah aktiviti ketenteraan di sekitar kompleks itu sememangnya berisiko tinggi.

* Marlissa Kamal ialah wartawan Meja Global, Sinar Harian