Laporan IAEA bukan bermakna sokong Jepun lepas air terawat ke laut

Grossi berkata bahawa pelepasan air terawat yang disimpan di Fukushima Daiichi Power Station adalah keputusan nasional oleh kerajaan Jepun dan laporan itu bukanlah satu cadangan atau menyokong dasar tersebut. - Foto POOL / AFP
Grossi berkata bahawa pelepasan air terawat yang disimpan di Fukushima Daiichi Power Station adalah keputusan nasional oleh kerajaan Jepun dan laporan itu bukanlah satu cadangan atau menyokong dasar tersebut. - Foto POOL / AFP
A
A
A

TOKYO - Laporan akhir penilaian keselamatan mengenai rancangan Jepun untuk melepaskan air terawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi ke laut, yang dibentangkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), bukan bermakna laporan itu menyokong keputusan kerajaan Jepun, lapor Xinhua.

"Perlu saya tekankan bahawa pelepasan air terawat yang disimpan di Fukushima Daiichi Power Station adalah keputusan nasional oleh kerajaan Jepun dan laporan ini bukanlah satu cadangan atau menyokong dasar itu tersebut," kata Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, dalam prakata laporan yang diserahkannya sendiri kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, pada Selasa.

Grossi berkata, pandangan yang dinyatakan tidak semestinya mencerminkan pendirian negara anggota IAEA, sambil menambah IAEA mahupun negara anggota tidak bertanggungjawab atas akibat yang mungkin timbul daripada pelaksanaannya.

Pada sidang media yang diadakan di National Press Club Jepun di Tokyo beliau berkata pilihan untuk membuang air terawat itu adalah pilihan yang dibuat oleh kerajaan Jepun.

IAEA katanya, akan terus memantau dan menilai aktiviti pelepasan itu dan sama ada untuk membenarkan negara lain mengambil bahagian dalam penyeliaan ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Jepun.

Pada Rabu, beliau memulakan lawatan selama empat hari ke Fukushima dan turut melawat loji tenaga nuklear itu atas undangan Kementerian Luar Jepun.

Kerajaan Jepun telah berusaha untuk memulakan rancangan itu pada musim panas ini, mencetuskan bantahan kuat daripada beberapa pihak termasuk kumpulan nelayan domestik, negara jiran, negara kepulauan Pasifik Selatan dan masyarakat antarabangsa.

Semasa sidang media Grossi, sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar kelab itu untuk menyuarakan bantahan terhadap rancangan berkenaan.

Terdapat dakwaan yang menyatakan kerajaan Jepun memberikan IAEA sekurang-kurangnya €1 juta untuk mendapatkan draf laporan akhir IAEA sebelum tarikh rasmi penghantaran dan mahu bahagian yang sensitif disunting.

Jurucakap Kementerian Luar China pada Selasa, kesal dengan pengeluaran laporan yang tergesa-gesa itu dan laporan itu dilihat gagal mencerminkan sepenuhnya pandangan pakar.

Sementara itu, Kedutaan China di Jepun dalam satu sidang media di Tokyo, menyatakan bahawa laporan IAEA tidak semestinya memberi lampu hijau kepada pelan pelepasan Jepun, dengan menambah bahawa laporan itu tidak dapat membuktikan legitimasi dan kesahihan pelan itu.

Laporan itu juga tidak membebaskan Jepun daripada tanggungjawab moral dan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.

"Kami sekali lagi mendesak Jepun untuk menghentikan pelan pelepasan air ke dalam lautan dan membuang air tercemar nuklear itu...," menurut kedutaan sambil menambah tidak kira apa yang dinyatakan dalam laporan itu, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa Jepun akan melepaskan jutaan tan air tercemar dari Fukushima ke Pasifik dalam tempoh tiga dekad akan datang. - Bernama/Xinhua