Bapa hilang kerja buntu fikirkan kos rawatan anak

Mohd Zulkifli (kanan) dan isterinya, Zamuri (kiri) melihat gambar imbasan buah pinggang Muhammad Faiz Fahmi di rumahnya di Jalan Taman Balok Permai di sini pada Rabu.
Mohd Zulkifli (kanan) dan isterinya, Zamuri (kiri) melihat gambar imbasan buah pinggang Muhammad Faiz Fahmi di rumahnya di Jalan Taman Balok Permai di sini pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa buntu memikirkan nasib dirinya dan keluarga apabila diberhentikan kerja pada 1 Julai lalu.

Lebih memeritkan, Mohd Zulkifli Ismail, 47, yang baru sahaja ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) perlu menampung kos rawatan anak keduanya, Muhammad Faiz Fahmi Mohd Zulkifli, 21, setelah disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap lima sejak Jun lalu.

Kata Mohd Zulkifli, sebelum ini anaknya menjadi tulang belakang membantu dirinya mencari rezeki keluarga namun tidak mampu berbuat demikian dek penyakitnya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan, selain wang pampasan selama dua bulan gaji diberikan syarikat sejak diberhentikan 1 Julai lalu.

"Bila sudah tidak bekerja, saya terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan untuk menyara keluarga termasuk perbelanjaan anak-anak yang masih bersekolah.

“Anak kedua sudah tidak boleh bekerja dan kini dia (Muhammad Faiz Fahmi) bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan yang diberikan pihak hospital," katanya buntu memikirkan kewangan semakin merosot.

Mohd Zulkifli memaklumkan Muhammad Faiz Fahmi sebelum ini baharu bekerja di sebuah kilang di Gebeng dan secara tiba-tiba mengadu sakit kepala dan mengalami sering muntah.

Jelasnya, Muhammad Faiz Fahmi kemudian menjalani pemeriksaan menyeluruh di sebuah klinik di Balok sebelum diminta pihak klinik untuk melakukan pemeriksaan lanjut di Hopital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz Fahmi menunjukkan imbasan buah pinggang yang rosak selepas disahkan doktor HTAA pada Jun lalu.
Muhammad Faiz Fahmi menunjukkan imbasan buah pinggang yang rosak selepas disahkan doktor HTAA pada Jun lalu.

Susulan membuat pemeriksaan di HTAA, Muhammad Faiz Fahmi disahkan menghidap sakit buah pinggang tahap lima dan diberikan tempoh sebulan sebelum mendapatkan rawatan lanjut.

“Pada 12 september ini satu janji temu bersama doktor akan diadakan dan saya diberitahu ada beberapa cara untuk rawatan, antaranya mendapatkan rawatan dialisis serta perlu membuat tapak dialisis terlebih dahulu.

"Kos menjalani pembedahan tapak dialisis dianggarkan menelan belanja sekitar RM4,000,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Jalan Balok Permai di sini pada Rabu.

Bapa kepada empat anak itu mengakui lebih runsing mengenangkan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan apabila Muhammad Faiz Fahmi mendapatkan rawatan dialisis.

Tambah Mohd Zulkifli, kos bagi rawatan itu lebih tinggi kerana memerlukannya untuk berulang ke hospital tiga kali seminggu.

“Kos untuk berulang ke hospital itu mungkin mahal selain rawatan-rawatan lain. Malah, saya perlu memikirkan perbelanjaan sekolah anak sulung yang masih belajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, selain anak ketiga dan bongsu masih bersekolah di Tingkatan Empat dan Dua," ujarnya merancang untuk membuat perniagaan secara kecil-kecilan setelah keadaan kesihatan Muhammad Faiz Fahmi kembali stabil.

Justeru, bagi menampung kos rawatan tersebut, Mohd Zulkifli dan isterinya, Zamuri @ Zawahir Mohd Noor, 47, telah membuat beberapa permohonan bantuan termasuk mendapatkan bantuan zakat.

Mohd Zulkifli
Mohd Zulkifli

"Muhammad Faiz Fahmi juga ada memohon dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana pernah bekerja di sebuah pasar raya sebelum ini.

“Jika permohonan ini diluluskan nanti ia dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan dan kos rawatan anak saya,” ujar Mohd Zulkifli.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Mohd Zulkifli boleh menghulurkan bantuan tersebut di akaun Ambank Muhammad Faiz Fahmi bernombor 8881033856677 atau menghubhngi Mohd Zulkifli ditalian 012-9639040.